Iqra'

on Saturday, May 30, 2009

Apa sahaja yang berkaitan dengan kehidupan dunia ini, umat Islam sepatutnya mendahului bangsa-bangsa lain. Ini kerana sumber panduan paling lengkap dan sempurna berada dalam tangan umat Islam iaitu Al-Quran. Ramai para bijak pandai Islam sependapat bahawa umat Islam akan maju sekiranya benar-benar mengamalkan ajaran Quran. Kemunduran umat ini yang dapat dilihat di merata-merata dunia adalah kerana sudah terlalu jauh renggang dari ajaran Al-Quran.

Ini berbeza sekali dengan masyarakat Barat. Mereka akan mundur sekiranya berpegang teguh kepada ajaran Kristian dan akan maju sekiranya meninggalkan ajaran Kristian.

Sebanyak ajaran Kristian tidak menganjurkan atau tidak memberi panduan selengkapnya perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan. Malah telah sepakat dan diakui oleh pihak barat bahawa kemajuan yang mereka kini adalah datangnya dari dunia Islam. Mereka, yakni Barat yang mengembangkan ilmu dan penemuan yang telah tersedia oleh para sarjana Islam.
Semasa Barat berada dalam kepompong "dark-age" dunia Islam sedang berkembang pesat dengan tradisi berbagai ilmu pengetahuan. Lantaran kegigihan dan bersungguh-sungguh maka mereka berjaya merealisikan segalas ilmu pengetahuan tersebut menjadi kemajuan dan pembangunan teknologi canggih. Kesimpulannya Barat maju kerana jasa Islam.

Ambil satu contoh bagaimana ajaran Kristian tidak menganjurkan kemajuan-dalam bidang ketenteraan. Mereka berpegang kepada satu prinsip yang kononnya dari ajaran Jesus iaitu "kalau ditampar pipi kanan, suakan pipi kiri" pula. Menurut prinsip ini mereka tidak perlu membela diri malah memberi laluan pula untuk diserang. Sepatutnya dunia Barat tidak perlu membangunkan sebarang teknologi canggih dalam bidang ketenteraan. Kerana mereka tidak perlu membela diri. Tetapi kini mereka bukan sahaja mempertahankan diri kalau diserang, sebaliknya serang balas dari mereka berlipat kali ganda dan melampau pula. Lihat sahaja aksi Rambo dan Dredd satu kejahatan musuh dibalas dengan satu kehancuran dan kemusnahan.
Mengamalkan prinsip itu juga Barat sebenarnya akan menjadi lemah dan mengalah. Kini apa yang berlaku mereka kuat dan cenderung menyerang atau mencari jalan untuk menyerang. Tidak hairan, selain rantau Asia, sudah banyak negara yang terencat perkembangan ekonominya seketika akibat serangan spekulator mata wang.

Daripada perintah Allah SWT yang memfardhukan solat sahaja, sudah menganjurkan umatnya agar maju dalam bidang duniawi. Ini kerana fardhu solat itu tidak akan sempurna kecuali disertakan dengan pakaian yang menutup aurat, air untuk bersuci dan berwuduk, masjid untuk solat Jumaat dan berjemaah, arah kiblat dan penentuan waktu.

Salah satu aspek paling penting ajaran Islam ialah wahyu Allah SWT yang pertama kepada Rasulullah SAW iaitu Iqra'. Perkataan yang pertama ini turun dalam bentuk perintah atau suruh iaitu "Bacalah olehmu (Ya Muhammad). Ertinya perintah baca itu mendahului perkara lain dan sudah tentulah sangat utama dan banyak manfaatnya kepada manusia.

Namun tuntutan membaca oleh Allah SWT itu bukanlah khusus pengertiannya kepada mampu mengenal huruf dan sebutan perkataan. Kerana Rasulullah sendiri yang menerima perintah Iqra' itu langsung tak pandai membaca dan menulis. Apakah ada percanggahan Allah SWT itu dengan kedudukan Rasulullah SAW yang tidak tahu membaca? Jawabnya tidak sama sekali. Itu hanyalah sebagai hujjah bahawa maksud perintah membaca itu bukan semata-mata celik huruf.
Membaca yang diperintahkan oleh Allah SWT bukanlah sekadar mencapai tahap celik huruf. Membaca juga bukan sekadar mampu mengenal, menyebut dengan fasih setiap huruf atau kalimah yang tertera. Tuntutan membaca itu membawa maksud seperti berikut:

1. Mempelajari dan memperolehi ilmu.
2. Menguasai berbagai ilmu dan mencapainya ditahap yang paling tinggi.
3. Menguasai pengetahuan dalam berbagai bidang samada secara khusus (kepakaran) atau secara umum (general knowledge).
4. Menghidupkan akal dan kuat berfikir. Melalui pembacaan akal seseorang itu semakin pintar dan bijaksana. Umpama jasad perlukan makanan untuk kesihatan dan kecerdasan. Maka membaca dan ilmu pengetahuan itu merupakan makanan bagi akal. Sebab itu ada perbezaan tahap akal orang berilmu dan orang jahil. Tanpa ilmu ertinya akal kebuluran atau kekurangan makanan. Akal yang beku dan jumud berpunca dari kurangnya pengisian.

Pembacaan juga merangsang pencapaian mentaliti. Ertinya pembacaan dapat membentuk mentaliti manusia samada kekal sebagai kuno, primitif, ketinggalan atau sebaliknya proaktif, maju dan bertamadun. Orang yang mempunyai kemantapan "civic-minded" sering disandarkan kepada orang yang berfikiran moden dan ke hadapan .

Membaca juga mempunyai pengertiannya yang absrak. Umpama seseorang itu dapat mendalami suatu situasi atau keadaan politik dan ekonomi atau sosial. Maka dapat diertikan dapat "membaca" situasi.

Katakan seorang itu dapat mengesan perubahan sosial, maka orang itu dikatakan cekap "membaca" situasi. Orang yang dapat memahami reaksi atau gelagat orang lain pula dipanggil bijak "membaca" reaksi orang. Kita juga sering mendengar orang berkata yang dia mampu "membaca" air muka orang. Oleh itu pengertian lain kepada membaca itu ialah:

a. Cepat memahami sesuatu situasi.
b. Mampu mengesan dan menganalisa sesuatu perubahan keadaan keliling dalam berbagai aspek.
c. Pengamatan yang tajam dan teliti.
d. Boleh menjadi mastermind atau ahli strategi.
e. Imajinasi yang tinggi, kreatif dan banyak idea baru.

Memahami maksud tuntutan membaca yang seumpama ini bakal melahirkan umat Islam mampu menguasai dunia. Sekali lagi diulang, sepatutnya umat Islam terkehadapan dalam apa bidang dengan hanya memahami dan mengamalkan tuntutan Iqra' itu.

Sayangnya dan malangnya umat Islam ketinggalan dalam aspek "membaca". Al-Quran dan Hadis yang dibaca dijadikan hanya sekadar bahan bacaan dan bukan untuk "dibaca" dalam ertikata yang tersirat dan abstrak. Membaca (dapat ilmu di sekolah) pun agak lemah dan ramai yang ketinggalan. Para remaja hanya berminat membaca bahan hiburan, sensasi dan misteri yang tidak membina ketinggian mentaliti. Apatah lagi umat Islam sering tewas dalam percaturan dunia kerana tidak ramai umat Islam yang mampu "membaca" situasi semasa.
Al-Quran itu sendiri bermaksud bacaan dan wahyu yang pertama pula merupakan perintah membaca. Membaca Al-Quran itu sendiri bukan terhenti setakat menyebut atau melafazkan huruf dan kalimah dalam Al-Quran itu. Tetapi tuntutan membaca Al-Quran itu agar merenungi, memahami dan menghayati isi kandungannya.

Al-Quran merupakan ibu segala ilmu dan sumber segala pengetahuan dan panduan. Al-Quran menjadi penyuluh kepada kehidupan manusia. Penyuluh ertinya menerangi jalan dari dunia hingga ke Akhirat. Oleh itu kehidupan umat Islam pasti tidak pernah kehilangan arah. Matlamat hidup umat Islam adalah jelas untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan menduduki Syurga di Akhirat nanti. Maka Allah SWT juga menunjuk jalan untuk mencapai matlamat tersebut. Oleh itu apa aspek pun yang hendak dibuat oleh umat Islam di dunia ini tidak teraba-raba, tidak samar, tidak tercari-cari dan tidak kehilangan hujung perhentian. Tidak juga mudah tertipu dan silau oleh muslihat Barat, oleh nafsu rakus dan oleh bisikan syaitan.

Allah SWT menjadikan bumi ini dan dicipta pula manusia sebagai khalifah. Allah SWT tidak lepaskan terbiar begitu sahaja. Allah SWT yang mengetahui segala ciptaanNya, maka Allah sertakan khalifah di bumi ini dengan Al-Quran sebagai panduan. Panduan bagaimana manusia berhubung dengan Allah SWT dan panduan bagaimana manusia hidup sesama manusia. Dengan panduan ini maka dapatlah manusia hidup aman sejahtera dari dunia hingga Akhirat.

Bukanlah itu sahaja satu keberuntungan yang tidak ternilai bagi umat Islam. Segala-galanya tersedia dihadapan sebagai tempat rujukan. Tetapi mengapa umat Islam tidak mencapai tempat yang sewajarnya? Jawapannya ialah kerana umat Islam sudah renggang dari Al-Quran. Atau Al-Quran itu dibaca sekadar memenuhi tuntutan untuk memperolehi pahala dan berkat. Akhirnya umat Islam tidak mempunyai pengaruh dalam kehidupan.

Sebagai menguatkan lagi hujjah dan bukti betapa kuatnya pengaruh Al-Quran dalam kehidupan, lihatlah bagaimana paparan sejarah terhadap mereka yang digelar "The Unique Quanic Generation". Kehidupan mereka yang berpegang teguh dengan Al-Quran, maka mereka dianggap sebagai generasi unik dan anih. Sesuatu bangsa yang sebelumnya hidup penuh dengan berbagai kedurjanaan dan kemungkaran, hidup dalam keadaan hina dina, hidup dalam bercakaran dan penuh dengan berbagai penderitaan. Akhirnya bertukar dan berubah menjadi bangsa yang mulia bermartabat tinggi dan berjaya membina tamadun serta empayar mereka dihormati oleh kawan dan digeruni oleh lawan. Perubahan yang berlaku itu hasil dari pengaruh Al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dengan kitab ini (Al-Quran) meninggikan darjat satu kaum dan menjatuhkan kaum yang lain". (Muslim).

Marilah kita berusaha meninggikan martabat umat dengan mempertingkatkan penguasaan kita dalam "membaca".

Jagalah Lidah

on Thursday, May 28, 2009

Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan seperti "lidah tidak bertulang" atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.

Lidah jugalah yang boleh menyebabkan manusia itu terjerumus ke dalam api neraka. Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang membawa kesusahan dan kerugian. Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam.

Diam dalam erti kata tidak bercakap dalam perkara yang sia- sia dan tidak baik. Sehubungan dengan ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud. "Manusia itu ada tiga macam (jenis). Pertama: Yang mendapat pahala. Kedua: Yang selamat daripada dosa. Ketiga: Yang binasa.

Orang yang mendapat pahala ialah orang yang sentiasa mengingati Allah, berzikir dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa ialah orang yang sentiasa melakukan perkara-perkara maksiat."

Orang yang beriman dan bijaksana selalunya tidak berkata atau bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka seperti ini menjaga setiap tutur kata dan percakapan. Mereka mengelakkan daripada berkata sesuatu yang tidak berfaedah atau sia-sia apatah lagi mengumpat keji atau mencaci sesama manusia. Sesuai dengan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai kehormatan diri, maka dekatilah dia, kerana dia akan mengajarkan kau ilmu hikmah."

Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap hanya untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak diucapkan difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu berfaedah dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya.

Orang-orang munafiq pula akan bercakap apa sahaja tanpa memikirkannya terlebih dahulu. Di dalam sebuah Hadis lain yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Najah dan Abu Hurairah, disebutkan Rasulullah SAW ditanya tentang sebab terbesar yang membawa masuk syurga. Lalu Rasulullah SAW menjawab: "Taqwa kepada Allah dan akhlaq yang baik." Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah SAW menjawab: "Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan."

Daripada hadis di atas jelaslah penyalahgunaan lidah iaitu kerana tutur kata dan percakapan dan juga penggunaan kemaluan yang bertentangan dengan hukum-hukum boleh membawa manusia ke neraka. Seorang ahli sufi yang terkenal, Hassan al-Basri pula pernah menyebutkan, orang yang tidak menjaga lidahnya ialah orang yang tidak memahami agamanya. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjaga lidah kita daripada bertutur perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti mengumpat, mencaci dan berbohong.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Berbahagialah orang yang menahan kelebihan lidahnya dan membelanjakan kelebihan hartanya." Untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kira mengawal lidah agar tidak timbul perselisihan dan perbalahan. Sebuah masyarakat yang aman dan harmoni terbentuk kerana ahlinya hidup kasih mengasihi antara satu sama lain, tidak menghasut dan mempelagakan antara satu sama lain.

Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara dan porak peranda. Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah berhati-hati apabila bercakap. Sebelum berkata, fikirlah dulu buruk baiknya kerana jika tersilap kata buruk padahnya. Peribahasa kita ada menyebut: "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."

Janji tinggal janji...

on Friday, May 22, 2009

Salah satu di antara kebesaran sembahyang yang dapat kita fahami secara ilmiah berhubungan dengan maksud perbuatan-perbuatan dari sembahyang itu sendiri. Kalau ditinjau intisari atau intipati dari bacaan-bacaan dalam sembahyang itu maka jelaslah kepada kita bahawa sembahyang bukan saja merupakan bentuk pergerakan lahiriah semata-mata tetapi ianya mempunyai hikmah yang amat tinggi yang dapat menjadi benih, teras atau dasar terhadap pembentukan peribadi seorang insan yang telah menyerahkan dirinya kepada Allah SWT. Dari sinilah terbentuknya peribadi-peribadi agung.

Jika dilihat dari kandungan bacaan dalam sembahyang itu maka ianya amat tepat kalau disimpulkan bahawa sembahyang itu merupakan suatu pembaharuan ikrar atau janji yang dilakukan pada dua tahap atau peringkat.

Pada peringkat pertama, ia merupakan suatu pembaharuan ikrar yang telah kita lakukan dari sejak alam arwah dahulu, yang mana telah kita lupakan. Di waktu itu Allah SWT telah menawarkan suatu jawatan penting kepada makhluk-Nya yakni untuk mengatur atau menjadi wakilnya (khalifah) menyusun dan mengatur makhluk-makhluk-Nya yang telah dicipta di alam dunia ini, berdasarkan kepada Al Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Jawatan inilah yang dikenal sebagai jawatan khalifah atau wakil Allah di muka bumi ini. Jawatan ini ditawarkan oleh Allah SWT kepada makhluk-makhluk yang sesuai menurut kehendak Allah.
Pada mulanya jawatan ini ditawarkan kepada langit dan bumi, tetapi langit dan bumi yang begitu gagah dan besar tidak sanggup memikul beban tugas yang amat besar dan mulia ini.
Ini bukan bererti bumi dan langit tidak berkeinginan, tapi mereka merasa benar-benar takut. Takut kalau-kalau menderhakai Allah apabila tidak dapat melaksanakan tugas suci yang diamanahkan oleh Allah SWT ini. Oleh kerana itu langit dan bumi mengaku tidak sanggup. Namun begitu Allah yang Maha Penyayang tidaklah murka kepada mereka (langit dan bumi) sebab tugas ini merupakan satu tawaran saja dan bukan suatu paksaan.

Setelah bumi dan langit tidak sanggup memikulnya, maka Allah telah menawarkan pula tugas mulia ini kepada bukit dan gunung. Kali ini bukit dan gunung juga tidak berkeupayaan memikul tugas khalifah ini. Begitu pula makhluk-makhluk lain yang merasa besar yang hendak diamanahkan untuk memikul tugas ini merasa tidak sanggup.

Akhir sekali Allah telah menawarkan tugas ini kepada manusia yang kerdil-kerdil lagi dhaif. Manusia yang kerdil dan lemah ini telah memberi kesanggupan untuk menerima tugas besar dan mulia ini. Ketika itu manusia seolah-olah berkata beramai-ramai:

"Wahai Allah, sekiranya langit dan bumi tidak sanggup memangku tugas khalifah ini maka biarlah kami yang kerdil dan lemah ini menerima tugas besar tersebut."

Demikianlah manusia melahirkan janjinya menyatakan sanggup dan berkesungguhan untuk menjadi wakil Allah di muka bumi ini. Kesungguhan manusia untuk memikul tugas yang mulia ini bukanlah semata-mata kerana ringan atau beratnya tugas tersebut tetapi kerana tertarik dengan janji Allah SWT.

Apakah janji Allah kepada manusia sehingga manusia sanggup memikul tugas besar sebagai khalifah Allah di muka bumi ini? Janji itu bermaksud bahawa barangsiapa memikul jawatan wakil Allah SWT, mereka akan diberi kebenaran atau tauliah untuk mengurus, mengatur dan mengawal bumi dan lautan dan segala khazanah yang terkandung di dalamnya.

Dari ikrar dan janji setia yang dibuat antara manusia dengan Allah untuk menjadi khalifah Allah di alam mayapada ini bererti manusia telah bersedia dan berkesanggupan untuk melaksanakan peraturan-peraturan dan tata hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam kitab sucinya Al Quran serta hadis Rasulullah SAW.

Seluruh peraturan itu hendaklah dilaksanakan dalam seluruh sistem kehidupan manusia baik itu pada peringkat dirinya sendiri, keluarganya, sahabat-handai dan saudara maranya, masyarakat dan negaranya sampai seluruh alam sejagat yang luas ini.

Atas janji setia inilah Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pemurah itu telah melahirkan kita ke dunia melalui rahim ibu kita. Namun malang sekali yang telah berjanji tidak dapat mempertahankan janjinya. Hal ini jelas dari firman Allah yang bermaksud: "Sedikit sekali hamba-Ku yang bersyukur."

Dengan kata lain insan-insan yang sudah melahirkan kepatuhan dan ketaatan pada Allah tatkala di alam arwah, yang menepati janjinya amat sedikit sekali jumlahnya. Justeru itu sembahyang mengandung hikmah yang amat besar iaitu hikmah yang merupakan suatu pembaharuan sumpah setia yang telah kita ikrarkan semasa di alam arwah lagi.

Melalui sejarah, kita dapat memahami bahawa apabila para sahabat yang hidup bersama Rasulullah SAW ketika hampir waktu untuk menunaikan sembahyang, mereka menjadi gemetar dan merasakan bahawa seolah-olah mereka sedang berhadapan dengan seekor singa yang hebat lagi ganas atau mungkin lebih dari itu.

Dalam riwayat yang lain terdapat kisah yang menyatakan bahawa sebahagian para sahabat ketika mengambil wudhuk wajah mereka berubah menjadi pucat seperti orang dalam keuzuran malah tubuh mereka menggigil.

Umpamanya pada suatu ketika Sayidina Umar mahu berwudhuk, beliau pemah ditegur oleh salah seorang sahabat: "Hai Umar, demamkah engkau? Engkau kelihatan seperti orang sakit." Pertanyaan tersebut telah menyentuh perasaan Sayidina Umar lalu beliau pun menjawab, "Hai saudaraku, tidakkah engkau tahu dengan siapa aku hendak berhadapan?"

Dengan ini kita dapat memahami tatkala Sayidina Umar hendak bersembahyang terbit perasaan gerun dan takut dalam diri beliau sehingga wajahnya berubah seperti wajah orang yang sedang uzur dan seluruh anggota badannya menjadi gemetar. Keadaan ini lahir dari sekurang-kurangnya dua perasaan yang timbul di hati beliau. Pertama, Sayidina Umar r.a merasa insaf bahawa ketika berdiri sembahyang beliau akan berhadapan dengan Allah SWT yang Maha Besar. Beliau bimbang kalau cara beliau melakukan solat itu tidak sesuai dengan kebesaran Allah SWT. Beliau bimbang nanti beliau bersifat kurang sopan terhadap Allah SWT.

Kedua: Beliau merasa cemas kerana sembahyang merupakan pembaharuan sumpah setianya kepada Allah SWT dan di samping itu beliau menyedari entah berapa ratus kali beliau telah menyatakan sumpah pada Allah SWT padahal sumpah-sumpah yang telah lalu entah sudah ditunaikan atau masih belum. Dan kini beliau sekali lagi hendak bersumpah memperbaharui ikrar tersebut.

Perasaan bimbang dan takut mendesak jiwa tetapi oleh kerana sembahyang adalah suatu perintah yang mesti dilaksanakan maka beliau tidak mempunyai pilihan lain. Tegasnya, berdasarkan peristiwa di atas jelas bahawa pembaharuan ikrar yang kita lakukan pada tiap-tiap kali kita sembahyang tidak dapat kita elakkan.

Kalau kita teliti satu saja dari ayat-ayat yang termaktub dalam sembahyang sudah mencukupi buat kita menentukan janji-janji yang kita ulang-ulangkan dalam sembahyang itu. Ayat ini terkandung dalam doa iftitah. Ayat ini benar-benar melambangkan ikrar tersebut dan melaluinya kita dapat merasakan benar-benar bahawa kita telah bersumpah di hadapan Allah SWT.

"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam." (Al An'am: 162)

Bila memahami hakikat ayat tersebut, tidak boleh tidak tentulah kita merasa takut dan cemas. Kalaupun tidak menjadi begitu gentar seperti gentarnya para sahabat maka sekurang-kurangnya timbul perasaan cemas dan bimbang mengikut tingkat iman yang ada.

Selama ini mungkin setengah daripada kita tidak sedar berlakunya lafaz ikrar tersebut kerana tidak memahami maksud bacaan dalam sembahyang. Sampai hari ini sukar bagi kita untuk memahami bahasa sembahyang disebabkan bukan saja kita tidak berminat untuk mempelajari bahasa Arab, tetapi anggapan dan nilai kita bahawa Arab itu demikian rendah. Anggapan ini timbul kerana kita sudah ditenggelamkan dalam falsafah hidup kebendaan sehingga tertanam dalam anggapan kita bahawa bahasa Arab itu tidak perlu di zaman sains dan teknologi ini dan justeru bahasa Arab tidak mempunyai nilai ekonomi.

Ayat yang tersebut di atas biarpun begitu pendek tetapi ia mengandungi makna yang begitu tinggi. Ia bukan saja merupakan suatu dasar peribadi yang menuju ke arah satu tujuan hidup malah ia merupakan satu sumpah yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawadhuk untuk melayari hidup yang akan dihadapi. Kita seolah-olah berikrar di hadapan Allah dengan lafaz:
"Wahai Allah SWT, aku berjanji kepada-Mu bahawa sembahyang yang sedang dilaksanakan ini juga amal ibadah yang lain yang aku lakukan, termasuk soal hidup dan matiku adalah berpandu sepenuhnya kepada garis-garis yang telah Engkau atur dan perintahkan mengikut keredhaan-Mu."

Kalau demikian besar dan hebatnya janji dan ikrar kita kepada Allah apakah jiwa kita tidak merasa bimbang dan cemas? Sekiranya kita sudah sedar maka sudah tentu timbul gerun dan takut dalam hati kita. Tetapi apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di kalangan masyarakat Islam hari ini adalah suatu yang amat dahsyat dan mengerikan. Bukanlah satu perkara yang asing hari ini jika ditemui manusia-manusia yang baru saja selesai menunaikan fardhu sembahyangnya mengumpat saudara-saudara yang sama-sama bersembahyang dengannya. Malah bermacam-macam kemungkaran lain yang sanggup dilakukan. Di kala itu Tuhan sudah tidak ada pada hati mereka. Bukan saja janji murni yang diikrarkan dalam sembahyang itu mereka lupa malah mereka menjadi raja kepada syaitan dan hamba kepada nafsu mereka yang mungkar.

Dalam sembahyang mereka mencari jalan lurus tetapi selesai sembahyang mereka menyahut seruan neraka jahanam. Ada pula yang tergesa-gesa menamatkan sembahyangnya kerana takut ketinggalan menonton rancangan televisyen kegemaran mereka.

Kalau demikianlah sifat sembahyang kita maka tidaklah hairanlah kalau sembahyang kita tidak mempengaruhi jiwa kita dan jauh pula daripada menjadikan sembahyang itu sebagai latihan membentuk peribadi kita sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Justeru itu tidaklah mustahil kalau masyarakat kita tidak dapat dipadukan dan bersatu tetapi berserakan dan bercerai-berai.

Ini tentu tidak akan dapat memunculkan sebuah masyarakat yang agung, mulia, baik dan tinggi "sahsiahnya". Padahal Rasulullah SAW dan para sahabat mampu menakluk dan menguasai kekuatan dua "Super Power" dunia ketika itu yakni kerajaan Rom dan Parsi kerana ketika itu umat Islam bersatu-padu. Kedua-dua kuasa besar dunia ketika itu tersungkur di kaki para sahabat.

Di kalangan setengah-setengah kaum ibu pula, mereka suka bersembahyang bersendirian secara bersunyi-sunyi, mungkin kerana mereka cuba mendapatkan kekhusyukkan.

Di saat bersembahyang, iaitu ketika berhadapan dengan Allah SWT mereka tutup aurat mereka sesempurna mungkin hinggakan sehelai rambut mereka pun tidak kelihatan. Tapi amat malang sekali, sebaik sahaja selesai mereka memberi salam, secepat kilat mereka menukar kulit atau pakaian yang menutup aurat mereka dengan pakaian yang mendedah dan menonjolkan aurat mereka.

Amat keliru umat hari ini, sesetengah pakaian bertudung hari ini di kelaskan sebagai busana muslim, sedangkan ia tidak menutup aurat dengan sempurna. Walau bertudung, tetapi dada dibuka sedikit atau menonjolkan bentuk badan. Ini amat bertentangan dengan konsep menutup aurat yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Nampaknya sembahyang yang didirikan itu belum mampu membentuk peribadi yang takutkan Allah SWT.

Bagaimana hendak lahir peribadi yang takutkan Tuhan jika di dalam sembahyangpun tiada rasa takut dan cemas ketika berhadapan denganNya.

Ringkasnya, ibadah sembahyang merupakan suatu amalan yang paling tinggi dan besar nilainya. Amalan-amalan yang lain tidaklah begitu besar jika dibanding akan hikmahnya dengan amalan sembahyang.

Oleh kerana itu jika sembahyang yang begini besar hikmahnya masih tidak dapat diselesaikan dan dibereskan maka janganlah kita harapkan perkara-perkara yang lain akan selesai.

Melihat keadaan orang-orang Islam yang sedang mengejar berbagai kemajuan kebendaan, hingga pada hari ini kesannya telah merendahkan nilai sembahyang. Hingga secara kasar dapat dianggapkan sebahagian besar orang Islam di dunia hari ini tidak sembahyang, iaitu kira-kira 80%.

Secara langsung apabila seseorang itu tegak mendirikan sembahyang, beliau dengan serdirinya berjanji atau berikrar untuk melaksanakan dan membina atau berikrar untuk melaksanakan dan membina dalam cara hidupnya menurut sistem Islam. Barulah janji dan ikrar itu bermakna dan dapat ditunaikan. Jika tidak, janji tinggal janji...

Hakikat Kemenangan

on Thursday, May 21, 2009

Capailah hakikat kemenangan menurut pandangan Al-Quran. Pandangan Al Quran itulah pandangan kita.

Firman Allah bermaksud:

1. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman
2. Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya
3. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari ( perbuatan dan perkataan) yang sia-sia
4. Dan orang yang mengeluarkan zakat
5. Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya
6. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela
7. Maka barang siapa mencari yang di sebalik itu mereka itulah orang yang melampaui batas.
8. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya
9. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya
10. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi
11. (Yaani) yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.
(Al-Mukminun: 1-11)

Inilah hakikat kemenangan dalam kehidupan kita. Kemenangan dan kejayaan lain bukan kemenangan dan bukan hakikat kejayaan. Itu semua hanya kemenangan dan kejayaan yang terbatas untuk duniawi dan tidak akan membawa hingga ke akhirat.

Itulah perjuangan kita, kerja yang mesti kita buat, mesti dilaksanakan sungguh-sungguh. Kalau kita tidak mencapai hakikat kemenangan itu, kita dikira golongan yang tidak berjaya, ketinggalan dan kalah. Di dunia hari ini siapapun tidak mahu kalah. Semua orang mahu menang, tetapi dalam ukuran apa?

Kalau menang dalam ukuran dunia sudah banyak perkara yang dapat dicapai manusia tetapi menang dalam nilaian Allah, dalam nilai Al Quran dan dalam nilaian Islam. Itu yang hendak kita rangkul. Allah ada nilaian tersendiri yang amat berbeza dari nilaian duniawi.

HIDAYAH DAN TAUFIQ KENALAH JAGA

on Wednesday, May 20, 2009

Hidayah dan taufiq adalah intan berlian yang berbentuk maknawi dan rohani. Ia adalah berharga seperti juga intan berlian bersifat maddi:

1. Siapa yang memilikinya dianggap kaya dan mulia.
2. Siapa yang memiliki intan berlian rohani, ia merupakan orang kaya Tuhan. Ia telah mendapat segala-galanya.
3. Siapa yang memilikinya, hidupnya terpimpin, akhlaknya mulia, syariatnya terjaga, imannya teguh dan bercahaya dan ia menjadi orang yang berbahagia.

Perlu diingat hidayah dan taufiq seperti jugalah barang yang berharga seperti emas dan intan berlian, ini juga boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan dipelihara sebaik-baiknya agar ia tidak hilang. Barang yang hilang dari kita susah untuk memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas-pulas berusaha mencarinya semula. Kalau tidak ia akan terus hilang dari kita buat selama-lamanya.

Kerana itulah Allah SWT mengingatkan kita dalam sepotong ayat suci Al-Quran yang bermaksud:
"Wahai Tuhan kami, jangan engkau gelincirkan hati-hati kami setelah Engkau memberi petunjuk dan kurniakan kami di sisiMu rahmat, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

BAGAIMANA MENJAGA DAN MEMELIHARA HIDAYAH DAN TAUFIQ

Agar ia kekal jadi milik kita atau tidak hilang dari kita:

1. Syukur nikmat Tuhan yang paling berharga ini. Kita rasakan ia adalah nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.
2. Kita istiqomah mengamalkannya dengan teguh serta penuh rasa bimbang sekiranya Allah Ta'ala menghilangkan hidayah dan taufiq dalam diri kita.
3. Selalu bermujahadah dengan penuh sabar terutama di waktu-waktu malas berbuat kebaikan dan terasa ringan untuk melakukan kemungkaran.
4. Bergaul dengan kawan-kawan yang baik kerana ia sangat membantu kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan kita terasa ada kawan.

BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIQ DITARIK SEMULA

Hidayah dan taufiq akan diambil/dihilangkan oleh Allah dalam diri kita sekiranya kita tidak bijak menjaganya.Di waktu itu kita akan hidup terumbang-ambing semula - tiada disiplin, malas beramal, ringan berbuat maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun mempunyai kekayaan yang banyak dan serba ada.

Di antara sebab-sebab hidayah dan taufiq ditarik semula:

1. Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinan
2. Derhaka dengan kedua-dua ibubapa. Kita sia-siakan akan kedua-duanya. Kita biarkan ibubapa tidak terurus dan terjaga. Terbiarlah kehidupan kedua-duanya lebih-lebih lagi kalau dia marah dan rasa tidak senang dengan kita.
3. Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok. Telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan dengan halal-haram tidak diambil kira hingga rasa takut dengan Tuhan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya.
4. Menzalimi orang. Dengan sebab menzalimi orang lain, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit dicabut.
5. Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat, kemudian terus terasa seronok dengan kebebasan itu, dan akhirnya tenggelam dalam kemaksiatan.

Zikir yang Berhasil

on Tuesday, May 19, 2009


Allah SWT menciptakan roh yang asalnya sangat mengenal Allah SWT. Ini yang dimaksudkan dari firman Allah SWT: "Tidakkah Aku (Allah SWT) ini Tuhan kamu? Berkata semua roh; "Bahkan kami bersaksi." (al-A'raf: 172)


Sesungguhnya firman Allah SWT ini mempunyai implikasi yang sangat besar kepada kehidupan manusia. Allah SWT sendiri memberitahu manusia bahawa roh yang berada di dalam jasad itu adalah roh yang suatu ketika dahulu telah berikrar, bersumpah, berjanji dan mempersaksikan di hadapan Allah SWT bahawa ia sangat mengenal Allah SWT.


Mengenal Allah SWT itu ertinya mengenal akan Keagungan, Kebesaran, Kekuasaan, Kesempurnaan dan segala-galanya mengenai Allah SWT. Mengenali segala-galanya mengenai Allah SWT itulah yang membawa kepada tunduk, menyembah, menyerah, taat, patuh, takut, cemas, bimbang dan lain-lain sifat kehambaan yang dengan itu maka seluruh kehidupan manusia ini hanya untuk tujuan itu semata-mata. Dan inilah tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT yang ditegaskan dalam firmanNya: "Tidak Aku (Allah SWT) jadikan jin dan manusia kecuali untuk menyembah Aku (Allah SWT)." (Az-Zariyat: 56)


Allah SWT telah menjadikan manusia dengan tidak ada lain-lain tujuan kecuali untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Manusia tiada hak sama sekali untuk memesongkan tujuan hidup yang telah Allah SWT tetapkan itu. Dan manusia juga tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah SWT tersebut. Tidak layak sama sekali manusia yang dicipta oleh Allah SWT lantas mempersoalkan atau memprotes hak mutlak Allah SWT tersebut.


Apabila manusia tidak lagi mengenal Allah SWT dalam ertikata kenal yang sebenarnya atas segala yang berkaitan dengan Allah SWT, maka manusia itu sudah dianggap memprotes ketetapan Allah SWT tersebut. Lebih-lebih lagi apabila manusia sudah tidak takut, tidak tunduk, malah melanggar syariat, peraturan atau perintah Allah SWT, maka manusia tersebut hakikatnya memprotes Allah SWT. Mereka itu dianggap pendurhaka walaupun mungkin mereka mendakwa tidak berbuat demikian.Mungkin lisannya tidak berkata bahawa mereka memprotes Tuhan, tetapi perbuatannya membuktikan bahawa mereka telah memprotes Tuhan.


Dalam Islam segala amalan yang dilakukan itu ada implikasi atau natijah tersembunyi kepada kehidupan. Ambil beberapa contoh. Di antaranya:


Contoh 1: Zikrullah- Ingatkan Allah SWT.


Ingat di sini bukan sekadar menyebut dan ingat terhadap kata-kata atau kalimah yang beserta tahu makna lafaz tersebut. Tetapi ingat hingga rasa kehambaan melekat dengan mendalam dan rasa berTuhan juga terbenam di lubuk hati sanubari. Sehingga hasilnya ialah jiwa menjadi kuat, hati dipenuhi mahmudah (sifat terpuji). Maka terbinalah peribadi yang kuat keyakinan dan kuat bersyariat, tinggi akhlaknya dan kukuh disiplinnya.


Contoh 2: Zikrul maut- ingatkan mati


Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Cukuplah mati sebagai pemberi ingatan." (Riwayat At Tabrani)


Orang yang hatinya penuh yakin akan kematian dan akhirat yang merupakan rukun iman yang kelima, ertinya yakin akan bertemu Allah SWT. Hari perhitungan itu saat penentuan samada ke Syurga atau ke Neraka. Keyakinan ini menjadi penyelamat seseorang itu dari terpesong kepada maksiat dan mungkar. Mereka juga akan terus dengan pegangan bahawa segala apa yang dicapainya dari kehidupan dunia ini tidak lebih dari alat untuk bersyukur dan taat kepada Allah SWT. Kadang-kadang nikmat itu pula menjadi ujian samada kekal bersyukur atau menjadi kufur.


Orang yang beranggapan bahawa dengan banyak zikrullah dan zikrul maut akan membawa kemunduran dan takut ketinggalan dari kemajuan duniawi adalah orang yang sangat tidak faham dengan hakikat hidup dan keTuhanan. Mereka ini akan menjadikan kehidupan dunia sementara ini sebagai matlamat mutlak. Nilai dan neraca pencapaian hanya diukur dengan angka-angka duit dan pertumbuhan ekonomi. Mereka ini sebenarnya tidak lebih dari hanya untuk memburu kepuasan hidup sementara dan kepuasan nafsu rakus yang tiada batasan. Mereka akan tetap mempertahankan melalui berbagai hujah dan alasan bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah kebaikan untuk manusia. Akhirnya mereka sendiri lupakan Allah SWT dan hari kebangkitan. Mereka inilah sebenarnya yang sangat cetek pemahamannya tentang ajaran Islam.

Bersyukur Dengan Ibadah

on Monday, May 18, 2009

Selama ini kita banyak mendengar orang menyebut perlunya bersyukur dengan harta, bersyukur dengan pangkat, kesihatan dan berbagai nikmat lahiriah yang Allah beri. Tetapi jarang orang memperkatakan perlunya bersyukur dengan ibadah.

Pernahkah orang menyebut tentang perlunya bersyukur dengan sembahyang, puasa, ibadah haji, wirid, zikir dan lain-lain ibadah fardhu dan sunat? Bukankah itu juga nikmat, yang lebih besar dari nikmat-nikmat yang lain-lain, yang berbentuk harta benda. Berapa ramai orang yang tidak bersyukur dengan nikmat yang lebih besar itu!

Sebab itu orang hanya nampak jahat pada orang yang gila dunia saja, kerana mereka tidak bersykur. Sedangkan berapa ramai orang tidak bersyukur dengan amal ibadah yang dilakukannya, tetapi ini jarang diperkatakan.

Tanda seseorang itu tidak bersyukur dengan amal ibadahnya, makin banyak sembahyangnya, wiridnya atau zikirnya, makin tebal sifat sombongnya. Puasa sunatnya banyak tapi sifat tawadhuk tidak tumbuh dalam dirinya. Lalu tidak lahirlah ukhuwah dan kasih sayang.

Berapa banyak ahli ibadah yang tidak bersyukur dengan ibadahnya. Barshisa seorang wali Allah, mati kufur kerana tidak bersyukur dengan ibadahnya. Allah beri nikmat 70 tahun beribadah, tapi ibadah yang dilakukannya tidak menghasilkan buah, tidak membangunkan rasa kehambaan, sebaliknya membangunkan sifat ketuanan dalam dirinya. Sebab itu Allah biarkan dia sesat dan boleh tertipu dengan syaitan. Mulanya dia minum arak, kemudian berzina dan seterusnya membunuh orang. Dan akhirnya dia mati digantung. Disebabkan rasa kehambaannya sudah tanggal dari hatinya. Allah turunkan bala begitu rupa padanya.
Sepatutnya apabila dapat mengerjakan sembahyang, berpuasa atau berwirid zikir, kita sujud syukur dan merendah diri kepada Allah. Sepatut kita merintih dengan penuh rasa kehambaan kepada Allah "Ya Allah, kalau bukan kerana rahmatMu dan nikmat Mu, kalau bukan kerana dorongan-Mu, aku langsung tidak boleh beramal. Sesungguhnya menyembah-Mu ini satu nikmat yang besar dan aku yakin tidak mungkin dapat berbuat kalau bukan kerana belas kasihan dan rahmat-Mu".

Hanya apabila kita dapat bersyukur dengan ibadah yang kita kerjakan, barulah ibadah itu berbuah. Buah ibadah itu adalah akhlak. Buah akhlak ialah kemesraan dan kasih sayang !
Wallahua'lam

Bagaimana Islam Mengatasi Kezaliman?

on Sunday, May 17, 2009

Fitrah manusia mahu dihormati, mahu keamanan dan kedamaiannya tidak terganggu. Fitrah manusia juga bencikan kezaliman, bencikan keganasan dan bencikan penindasan. Kalau demikian sifatnya manusia mengapa pula kezaliman, penindasan dan keganasan berleluasa di mana saja? Mengapa permusuhan, peperangan dan berbunuhan berlaku setiap hari? Memang ada jawapan mengapa terjadi demikian.

Pertama: Di zaman manapun, semenjak dari manusia awal, dan siapa pun dan tidak kira di mana, penganut ideologilah yang paling mudah membuat tindakan ganas dan pencetus kezaliman. Ini kerana penganut ideologi tidak pernah memperhitungkan soal Tuhan dan agama dalam hidup mereka. Bagi mereka, kepentingan hidup sementara ini saja yang diperhitungkan. Untung rugi mereka adalah di dunia ini semata-mata. Tuhan dan akhirat belakang kira. Malah terputus langsung dari agama, keTuhanan, hukum hakam, syariat dan perhitungan dosa pahala, neraka syurga.

Kedua: Apa yang mereka pertahankan sebagai maruah, penghormatan, keamanan dan ketenteraman itu adalah hak milik dirinya sendiri. Ertinya gangguan itu jangan berlaku terhadap diri mereka, keluarga mereka, dan kepentingan mereka. Kepada orang lain tidak diperhitungkan. Sebab itu Amerika sanggup berbuat apa saja terhadap Iraq atau juga kepada mana-mana negara dunia apabila kepentingannya dirasakan tergugat. Biarpun tindak balasnya sangat-sangat melampaui batas dan keterlaluan, itu semua sudah tidak dipedulikan. Asalkan kepentingan Amerika itu sendiri terjamin. Inilah yang dinamakan 'hukum rimba', iaitu haiwan dan tumbuhan. Haiwan bersifat siapa kuat dia berkuasa, yang kecil dan lemah sentiasa menjadi mangsa. Pokok-pokok pula akan sentiasa melepaskan pucuk masing-masing untuk lebih tinggi mengatasi pokok lain.

Kita semua perlu memahami keadaan ini bahawa tiada jaminan keadilan bagi mereka yang tidak mempedulikan Tuhan, agama dan akhirat. Akan sentiasa terdedah kepada kezaliman dari orang yang hanya menjadikan ideologi sebagai pegangan hidup. Cuma mungkin mereka membawa mesej kedamaian dan keadilan sementara belum ada peluang menindas dan kejam. Atau mungkin belum masanya kerana kepentingan dirinya belum tergugat.

Islam memang mengajar umatnya menentang dan menghapuskan sebarang bentuk kezaliman atau keganasan. Tidak kira sama ada zalim itu terhadap diri sendiri mahupun kepada orang lain, sama ada bersifat lahiriah mahupun rohaniah. Zalim yang bersifat lahiriah memang mudah dikesan. Ini yang ditakuti dan sering diperkatakan di mana-mana malah ditentang.

Kezaliman bersifat rohaniah ini sering diabaikan malah umat Islam sendiri ada yang tidak mengetahui dan tidak memahaminya. Lantas dipandang remeh dan terus tidak dipedulikan. Malah Islam lebih mengutamakan penghapusan kezaliman rohaniah ini. Kerana inilah punca berlakunya kezaliman lahiriah. Ianya ibarat seseorang yang memiliki racun berbisa. Dengan adanya racun itulah maka orang lain boleh turut terkena bisanya.

Firman Allah SWT: "Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, maka kamu akan diazab api neraka, dan tidak ada bagimu pemimpin selain Allah, kemudian kamu tidak akan ditolong." (Surah Hud: 113)

Dalam Islam zalim mempunyai pengertian yang tersendiri. Jauh berbeza dari kezaliman yang difahami oleh manusia. Manusia pula seringkali bercanggah dan berbeza dalam memberi erti kezaliman. Zalim bagi fahaman komunis berbeza dengan yang difahami oleh sosialis dan berbeza juga dari puak demokrasi. Zalim menurut pengertian Islam ialah apabila sesuatu itu (manusia atau benda) tidak diletakkan tepat pada tempatnya. Kalau demikian maka dikira zalim juga kalau kita jadikan "steam-roll" atau "bulldozer" sebagai teksi, atau dijadikan beca untuk mengangkut kayu balak, atau kasut diletakkan di atas kepala atau kopiah diletakkan di kaki atau seluar dalam dipakaikan di luar.Mengapa manusia seluruhnya memakai pakaian dan tidak bertelanjang. Paling kurang ada dua sebab iaitu tidak mahu berlaku zalim kepada tubuh badan yang tidak boleh terdedah kepada sejuk dan panas atau udara luar. Selain itu ialah untuk tidak mahu mendedahkan kemaluan yang sifatnya mesti ditutup. Dianggap zalim orang yang mendedahkan kemaluan bukan pada tempatnya.

Perbandingan itu untuk memahamkan kepada kita terhadap sesuatu yang jauh lebih utama dan perlu dielak dari berlaku zalim. Iaitu mengapa manusia dihidupkan di atas mukabumi ini. Atau mengapa manusia diciptakan oleh Allah SWT. Jawabnya yang paling tepat mestilah datangnya dari Allah SWT juga kerana Allah SWT yang mencipta manusia. Allah SWT telah tetapkan iaitu dalam firmannya: "Tidak aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku (Allah)." (Az-Zariyat: 56)

Maka jelas berdasarkan jawapan tersebut bahawa kezaliman yang paling besar ialah bagi siapa saja yang tidak menyembah Allah SWT. Inilah kezaliman rohaniah. Kezaliman lahiriah yang tampak dan disaksikan setiap hari itu hanyalah manifestasi dari kezaliman besar ini iaitu tidak menyembah Allah SWT. Dosa, maksiat dan kemungkaran itu semua kerana manusia sudah tunduk kepada hawa nafsu dan tidak tunduk kepada Allah SWT. Membelakangkan agama dan syariat Allah itu adalah bukti bahawa kita berada dalam kezaliman yang amat besar. Kerana kita sudah tidak meletakkan diri kita tepat pada tempatnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Sebab itu ajaran Islam telah mengajarkan kepada umatnya bagaimana hendak menangani kezaliman. Ini yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Kita boleh lihat kaedah itu melalui pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab kepada tenteranya setiap kali berangkat ke medan peperangan. Pergi berperang itu ertinya satu cara melenyapkan kezaliman golongan kuffar. Namun begitu tidak putus-putus Sayidina Umar memberi peringatan dengan katanya: "Hendaklah kamu lebih takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Kalau kamu mati di tangan musuh, hanya jasad bercerai dengan roh. Kalau kamu mati dengan dosa kamu itu akan membawa kamu ke Akhirat. Orang kafir itu dikalahkan oleh sebab kedurhakaan mereka kepada Allah (zalim). Kalau kamu juga turut berdosa (zalim) kamu tidak dibantu oleh Allah SWT."

Sebenarnya Sayidina Umar mengajarkan kaedah paling tepat dalam meruntuhkan kezaliman iaitu bersihkan diri dari dosa dan maksiat sama ada yang lahir mahupun dosa batin. Logiknya mudah sahaja iaitu tentulah tidak boleh mensucikan najis dengan air kencing. Hanya air mutlak saja yang dapat mensucikan najis. Air mutlak itu bersifat suci lagi mensucikan.

Di mana-mana saja sekarang ini kedengaran suara-suara lantang yang mahu meruntuh dan memusnahkan kezaliman atau keganasan. Apakah suara-suara itu datangnya dari mereka yang tidak zalim atau tidak ganas? Janganlah hendaknya berlaku di mana kezaliman pihak lain itu runtuh tetapi bertukar dengan orang lain yang turut menyuburkan kezaliman, cuma berlaku disudut yang berbeza. Kita yang inginkan musnahnya kezaliman tetapi turut bergelumang dalam kezaliman tetapi di aspek lain. Ertinya sama-sama zalim dalam sudut yang berbeza. Tidak hairan apabila di mana saja suara yang mahukan kezaliman itu runtuh namun bukan saja tidak berlaku malah bertambah berleluasa.

Sayidina Umar juga mengajarkan bahawa musuh itu dikalahkan oleh Allah kerana mereka durhaka (zalim). Ini dalam keadaan tentera Sayidina Umar sangat takut kepada dosa sendiri lantas mengadakan mujahadah pembersihan dosa sendiri dan membaiki diri hingga mereka layak dimenangkan oleh Allah SWT. Ertinya kuasa ghaib dari Allah yang berperanan mengalahkan musuh iaitu para penzalim. "Apabila kamu (tentera Islam) turut sama berdosa (zalim) nescaya Allah SWT biarkan kamu kepada musuh. Pada ketika itu siapa yang kuat antara kamu akan menang."

Jelaslah bahawa kemenangan itu Allah beri kepada yang layak mendapat pertolongan Allah SWT, maka Allah SWT musnahkan para penzalim. Apabila kita juga turut zalim Allah SWT tidak bantu dalam mengalahkan musuh. Kezaliman akan runtuh tanpa jerit pekik dan laungan lantang. Kezaliman akan cepat runtuh cukup sekadar suara hati, rintihan hati, keluhan hati terhadap dosa sendiri sambil mendambakan keampunan dan RahmatNya. Bersungguh-sungguh pula dalam soal menjauhi dosa dan hidup bersyariat.

Apa yang wajar bagi kita ialah mengatur agenda hidup yang lebih baik. Kerana hati kecil kita memang menyetujui bahawa orang baik saja yang layak membaiki orang jahat.

Guna Kaedah tepat untuk selesaikan masalah

on Thursday, November 8, 2007


Ramai pihak yang melontarkan persoalan, "Mengapa kini semakin banyak gejala negatif?" Kedapatan pula golongan yang merasa gelisah dengan kedua-dua keadaan yang kontra ini, yakni mereka merasakan gejala negatif tidak mengganggu kelancaran dan keselesaan kebangkitan Islam.

Kepedulian sosial ini merupakan petanda baik kerana itu akan bakal menjadi pendorong kepada tindakan susulan. Sebenarnya tiada kayu ukur yang dapat menentukan dengan tepat samada maksiat semakin meningkat atau menurun. Lebih-lebih lagi dalam banyak aspek ianya sangat bersifat relatif.

Ini bukan bererti hendak menafikan betapa berleluasanya maksiat dan mungkar, cuma sekadar menyatakan sukar untuk menentukan peningkatan atau penurunannya. Mungkin juga dulu lebih banyak dan lebih berleluasa cuma tidak "daring" umpama hari ini. Anak luar nikah pun dulu banyak terjadi, bezanya tidak dibuang merata tempat.

Adakalanya bukanlah berlaku peningkatan, tetapi berlaku perubahan sikap. Kalau dulu kita sendiri mungkin menjadi sebahagian dari penyumbang kepada kerja maksiat dan mungkar tersebut. Pada ketika diri kita sendiri sebahagian dari mereka tentu tiada rasa resah atau gelisah. Selain itu kita tidak langsung mempersoalkan keadaan yang berlaku tersebut.

Walaupun begitu usaha bersungguh perlu dilakukan kerana perkara mungkar dan maksiat itu bukan mesti tunggu sudah terlalu parah baru hendak bertindak. Langkah proaktif iaitu membendung adalah lebih baik dari mengubati.

Kita tentulah berbangga dengan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan semua pihak. Dalam pada kita melihat banyak dan pelbagai pendekatan program Islam khususnya dalam soal dakwah, keberkesanan program tersebut perlu sangat diambil kira. Memang kedapatan program yang nampaknya hebat tetapi masih menghasilkan vacuum di hati audien (pendengar).

Katakan contohnya, tiga orang ahli panel membahaskan topik "pembinaan keluarga". Semua ahli panel bercakap mengenai ciri-ciri keluarga yang sempurna. Semua bercakap fasal suami isteri yang ideal. Ciri-ciri anak yang baik, sikap yang perlu ada pada ibu bapa. Pendekatan semua ciri-ciri sebuah keluarga sempurna itu sudah diperincikan.

Namun aspek penting iaitu bagaimana mencapai ciri-ciri tersebut langsung tidak disentuh. Atau apa langkah yang perlu diambil, caranya, kaedahnya dan di mana atau oleh siapa tidak dipaparkan. Ini bolehlah diibaratkan kita memperkatakan ciri-ciri seorang jaguh bina badan. 'Body'nya sasa, otot-otot berketul, kuasa kudanya tinggi dan sebagainya. Tetapi proses pembinaan tubuh yang sasa itu tidak diperincikan. Ini membuatkan pendengar merasa macam satu khayalan.

Contohnya kita berseru agar remaja mengubah sikap. Tapi bagaimana atau bermula dari mana dan apa resipi untuk mengubah sikap itu tidak ditunjukkan. Sifat taqwa menjadi idaman semua orang, dan memang sering diserukan. Bagaimana mencapai taqwa itu tidak pernah diperincikan. Menjadikan kita ini orang yang asyik menyebut buah tetapi tidak pernah menunjuk jalan bagaimana cara sehingga terhasilnya buah tersebut.

Islam juga mementingkan amali. Ilmu yang dipelajari untuk diamalkan. Marilah kita praktikan walaupun perkara kecil. Allah SWT tidak persoalkan amalan yang besar dan berat yang sememangnya kita belum mampu mengamalkannya. Sekurang-kurangnya kita pasang niat terlebih dulu, umpamanya kita belum mampu tunaikan ibadah Haji. Tetapi banyak amalan Islam yang ringan dan kita mampu buat. Ini yang Allah persoalkan kerana kita memang mampu.

Tentu tidak sukar untuk membasuh telur sebelum digunakan. Kita juga tidak sukar untuk tidak makan roti canai yang telurnya tidak dibasuh terlebih dulu (kerana najis).

Terlalu banyak amalan sunat yang Allah Dan Rasul menyukainya. Buatlah sedikit dulu secara istiqamah sambil berazam untuk pertingkatkan dari masa ke semasa.

Najis "hukmi" sangat perlu dijaga di mana saja terutamanya di masjid dan di rumah. Tanpa disedari najis hukmi ini membuatkan amalan kita tertolak.

Makan minum juga perlu sangat dijaga kerana ianya sangat memberi kesan pada hati. Para hukama mengingatkan bahawa makanan yang syubahat itu lebih banyak daripada yang halal.

Semua yang hidup pasti akan mati, ini sudah pasti. Apa yang perlu difikirkan bukan bagaimana cara mati - jatuh kapalterbang, mati lemas, kemalangan dan sebagainya. Yang lebih penting apa persediaan kita untuk mati itu.

Thaiyibah dan wa Rabbun Ghafur

on Wednesday, November 7, 2007


Semua manusia tidak kira bangsa, agama atau keturunan semuanya inginkan kehidupan yang "Thaiyibah". Memang begitulah sifat fitrah manusia yang dicipta oleh Allah SWT.

Siapa yang tidak inginkan kehidupan yang "Thaiyibah" dalam ertikata kemakmuran, kemajuan, kesenangan dan keselesaan. Dengan lain perkataan semua manusia mahukan kebaikan, kedamaian, keharmonian, perpaduan, kasih sayang dan saling bertolong bantu. Semua manusia mahukan keselamatan diri, keselamatan harta benda dan keselamatan maruah.

Manusia juga mahukan pendidikan yang menjamin pembentukan peribadi mulia dan peluang mendapat ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin. Manusia mahukan tempat tinggal yang selesa. Manusia inginkan kesihatan yang sempurna dan tidak mengganggu keselesaan hidup. Manusia sentiasa mahukan keperluan asas yang berkecukupan. Manusia juga mahukan infrastruktur yang dapat membantu kelancaran segala urusan hidup. Manusia juga bukan sekadar ingin melihat dan mendengar segala macam nikmat, tetapi lebih dari itu manusia ingin merasai dan mengecapinya. Semua yang tertera di atas adalah di antara aspek yang terangkum di dalam "Thaiyibah".

Bagi umat Islam, tuntutan yang mesti di buru dan dicapai lebih dari sekadar "Thaiyibah" atau bukan sekadar terhenti kepada memperolehi keperluan asas, kemajuan, pembangunan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

Umat Islam mesti berusaha mencapai aspek yang lebih utama iaitu bertaraf "Ghafur" daripada Allah SWT. Umat Islam mesti ada agenda, program, pelan bertindak dan mekanisme mencapai ciri-ciri "Wa Rabbun Ghafur". Antara ciri-cirinya ialah:

1. Kekuatan iman
Kekuatan iman yang ada bukan sekadar mengesahkan iman, malah perlu sampai ke tahap yang mampu menjadi benteng daripada segala macam jenis maksiat dan kemungkaran, sekaligus sangat cintakan kebaikan.

2. Taqwa yang tinggi
Taqwa ertinya memelihara. Iaitu sangat memelihara hubungan dengan Allah SWT dan memelihara kehidupan bersyariat sehalus-halusnya.

3. Ibadah yang sempurna
Kesempurnaannya dalam ertikata terjaga lahiriah dari aspek syarat rukun dan sah batal, lebih-lebih lagi terpelihara roh ibadah itu hingga menghasilkan buahnya. Buah ibadah itu ialah rasa kehambaan dan rasa berTuhan yang sangat mendalam hingga ibadah itu sendiri akan membentuk keperibadian seseorang.

4. Urusan hidup yang menepati kehendak Allah SWT dan rasulNya atau sentiasa dalam bersyariat.

5. Memiliki akhlak yang mulia. Akhlak adalah tabiat, perangai, perbuatan atau tingkah laku. Maka akhlak adalah buah atau natijah atau manifestasi dari hati. Hati yang baik maka akhlak pun menjadi baik. Akhlak yang tinggi dan mulia apabila selaras atau selari dengan sifat-sifat keTuhanan. Contohnya Allah SWT itu Maka Pemurah, maka manusia juga perlu memiliki sifat pemurah yang sesuai dengan taraf manusia. Contohnya Allah SWT Maha Pengasih, maka manusia perlu memiliki kasih sayang dan sebagainya.

6. Sentiasa berdisiplin-mengikat diri dengan peraturan umpamanya yang penting diutamakan, perkara yang patut didahulukan tidak dikemudiankan. Siapa yang patut diberi penghormatan maka hendaklah dihormati dan sebagainya.

7. Bersih dari dosa dan maksiat.

8. Berlumba-lumba membersihkan hati dari sifat-sifat keji (mazmumah).

9. Berlumba-lumba membaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT.

10. Berlumba-lumba berbuat kebaikan dan kebajikan.

Buah atau natijah dari memiliki ciri-ciri "Wa Rabbun Ghafur" itu maka lahirlah golongan masyarakat seperti berikut.

1. Pemimpin yang sangat menaungi umat yang ada pada diri pemimpin itu sifat kebapaan yang sangat bertanggungjawab, sifat keibuan yang pengasih dan pengasuh. Sifat guru yang sentiasa memberi didikan dan sifat sahabat yang sentiasa simpati dan memberi pertolongan.

2. Para ulama yang menjadi obor menerangi umat dengan ilmu dan asuhan untuk mengenal Allah SWT dan kehidupan bersyariat.

3. Orang kayanya sentiasa bersyukur dan pemurah serta sentiasa membela orang yang memerlukannya.

4. Golongan pekerja, petani, nelayan sentiasa bersabar, redha dan terus berusaha.

5. Suami atau bapa yang bertanggungjawab.

6. Isteri yang menghormati dan mentaati suami. Hasil gabungan suami isteri yang seumpama itu maka terbina ikatan kukuh yang membawa kepada keluarga bahagia.

7. Anak-anak dan remaja menghormati ibu bapa dan orang tua. Tidak melakukan kerja sia-sia.

8. Para wanita sangat mempertahankan benteng maruah diri dengan mengekalkan sifat semulajadi iaitu sangat pemalu.

Inilah gambaran cita-cita yang mesti ada di hati umat Islam, berdasarkan firman Allah SWT tersebut. Gabungan "Thaiyibah" dan "Wa Rabbun Ghafur" inilah kehidupan umat Islam yang sebenar. Andainya terpisah atau terpinggir salah satu darinya maka ertinya sudah terkeluar dari tuntutan sebenarnya kehidupan sebagai orang Islam. Dan ini jugalah yang dikatakan kehidupan sejahtera yang hakiki, InsyaAllah hingga ke akhirat.

ETIKA BERPAKAIAN DAN PERHIASAN BAGI WANITA MUSLIM

on Monday, November 5, 2007


Firman Allah SWT:

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) pakaian mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ahzab:59)

Firman Allah SWT lagi: "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang zahir daripadanya." (An Nur: 31)

Sesungguhnya Allah memperjelaskan tentang etika pakaian dan perhiasan bagi seorang perempuan Islam yang beriman. Jelas sekali bahawa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi dan anak-anak perempuannya serta juga semua perempuan mukmin. Mereka dikehendaki melabuhkan pakaian mereka ke seluruh anggota badannya.

Pakaian dan perhiasan melambangkan personaliti. Dalam berpakaian dan berhias, wanita perlu menampilkan personaliti yang baik dan sopan. Ia sangat membantu dalam membina masyarakat yang aman dari jenayah-jenayah seks dan lain-lain perlakuan tidak bermoral. Dengan itu seluruh masyarakat akan selamat dalam mengharungi kehidupan di dunia, manakala di akhirat selamat dari azab Allah yang maha pedih.

Perhiasan dapat dibahagikan kepada beberapa ketegori seperti berikut :
1. Perhiasan semulajadi iaitu bentuk, kulit, mata, hidung, bibir, pipi dan semua anggota badan.
2. Perhiasan mendatang seperti bedak, celak, gincu bibir dan lain-lain alat solek.
3. Perhiasan zahir iaitu pakaian.
4. Perhiasan berbentuk barang kemas seperti gelang, rantai subang, gelang kaki dan lain-lain.

Berhias, jika menepati tuntutan syariat, akan mendatangkan pahala. Jika tidak akan mendatangkan dosa.

Berhias juga akan mendapat pahala sekiranya :
1. Membaca doa ketika mengadap cermin:
Maksudnya:
"Ya Allah, sebagaimana engkau mencantikkan wajahku, tinggikanlah budi pekertiku".
2. Niatkan kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah SAW, bukan untuk kelihatan menarik. Mendahului dari sebelah kanan.
3. Memasang niat ketika berpakaian iaitu untuk menutup aurat. Bukan untuk berhias-hias, bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk tetapi untuk mengikuti perintah Allah.
4. Membaca doa ketika memakai pakaian:
Maksudnya: "Segala puji bagi Allah yang memberi pakaian kepadaku untuk menutupi auratku, dan aku memperindahkan diri dengannya dalam hidupku."
5. Memakai fesyen pakaian yang menutup aurat jika hendak keluar rumah. Menutup aurat diwajibkan untuk menjaga dari sebarang fitnah atau perkara-perkara yang buruk.
6. Untuk menutup aurat di bahagian kaki, cara mudah adalah memakai stokin.
7. Memakai cincin di tangan yang kanan (sunat) seelok-eloknya pada jari manis.

Tindakan terbaik untuk menghindari dosa ketika berhias :
1. Tidak mengambil masa yang terlalu lama di depan cermin.
2. Memastikan alat solek yang digunakan tidak mengandungi bahan-bahan yang dilarang syariat seperti bahan-bahan bernajis dan lain-lain.
3. Tidak memakai pewangi atau bahan-bahan yang berbau yang memberangsangkan ketika keluar rumah.
Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana wanita yang memakai bau-bauan dan ia melintas satu kumpulan laki-laki yang bukan muhrimnya (dengan niat supaya mereka tertarik padanya) mereka dianggap telah berzina. Dan tiap-tiap mata yang memandangnya juga dikira sebagai zina." (Riwayat Ibnu Khuzaimah)
4. Memakai tudung dengan sempurna bila keluar rumah, tanpa mengeluarkan mana-mana bahagian rambut. (Tutup bahagian kepala seperti ketika sembahyang. Banyak terdapat pemakaian tudung yang tidak sempurna seperti memakai tudung tetapi menampakkan sebahagian bawah dagu atau membuka sedikit bahagian dada sebagai fesyen)
5. Tidak memakai pakaian yang menampakkan bentuk badan sama ada kerana terlalu nipis atau ketat. Rasulullah SAW pernah menasihatkan Asma' binti Abu Bakar kerana berpakaian nipis. Sabda baginda:
"Wahai Asma'! Sesungguhnya perempuan apabila telah baligh (sampai masa datang haid) tidak manis lagi ia dilihat (oleh lelaki yang bukan muhrim) akan auratnya melainkan ini dan ini (Nabi mengisyaratkan muka dan kedua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan." (Riwayat Abu Daud)
6. Memakai pakaian yang longgar dan selesa dipakai.
7. Tidak memakai pakaian yang menyerupai pakaian lelaki.
Sabda Rasulullah SAW: "Dilaknat wanita yang berpakaian menyerupai pakaian lelaki dan lelaki yang berpakaian menyerupai pakaian wanita." (Riwayat Abu Daud)
8. Tidak membazirkan wang ringgit dengan berlebih-lebihan dalam membeli alat-alat solek dan pakaian hanya kerana mengikut trend atau menjaga status.
9. Tidak memakai pewarna kuku yang kalis air. Ia boleh menghalang air dari kena pada kuku ketika mengambil wudhuk dan menyebabkan tidak sah wudhuk.
10. Tidak memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah. Sayidatina Aisyah pernah meriwayatkan larangan Rasulullah SAW tentang memakai cincin di jari tengah kerana menyerupai kaum Nabi Lut.
Wanita-wanita Islam dibolehkan menampakkan perhiasan zahir sahaja sebagaimana maksud firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka... “ (An-Nur:31)

Makna 'kecuali yang zahir' adalah pakaian. Bagi wanita yang sudah bersuami, dituntut berhias-hias dan berwangi-wangian semasa kehadiran suami. Waktu ini mereka bebas memakai apa sahaja bentuk pakaian, mengenakan alat-alat solek dan lain-lain.

Islam Itu Indah

on Sunday, November 4, 2007


Islam itu sendiri bermaksud selamat atau sejahtera. Bukan sahaja dirinya selamat malah menyelamatkan orang lain. Termasuk maruah diri, darah dan harta benda.

Kedatangan Islam telah mengangkat martabat maruah diri serta keturunan. Memberi hak ke atas harta benda dan pemilikan dan sangat menjaga nyawa.

Ketika Islam menguasai tiga suku dunia, itulah saatnya di mana dunia berada dalam kesejahteraan. Seluruh kaum, bangsa dan etnik memperolehi hak yang sempurna dalam berbagai aspek. Malah mereka dapat benar-benar merasai indahnya hidup bernaung di bawah payung Islam.

Bukan sahaja kehormatan diri, harta benda dan nyawa, malah hak anutan agama dan kepercayaan pun terjamin kebebasannya. Tiada paksaan dalam beragama dan kamu dengan agama kamu. Dan ini tidak pula bertentangan dengan hak penyeruan atau dakwah. Seruan dan dakwah hanya perlukan kebijaksanaan yang menambat hati mereka sehingga menerima Islam secara sukarela dengan hati yang tulus murni.

Apabila kekuasaan dunia ini beralih kembali kepada kerakusan nafsu dan mengenepikan Islam, maka budaya hidup jahiliyah kembali berleluasa. Berikutan itu maka kehidupan manusia tidak lagi sejahtera bahkan penuh dengan porak peranda, kacau bilau dan tindas menindas.

Demi kesejahteraan dan keharmonian hidup, semua pihak perlu memahami hak masing-masing, perlu mengikis dan mengenepikan sentimen melulu yang banyak merugikan semua pihak, perlu rasional dalam menghadapi situasi berbeza pendapat.

Dengan hadirnya Rasulullah SAW, keadilan terserlah dalam setiap urusan dengan orang bukan Islam. Masyarakat bukan Islam dilayan dengan layanan adil, bermaruah dan terhormat. Hak-hak mereka terutamanya hak kemanusiaan tetap terpelihara dalam Islam yang sentiasa bersifat selamat.

Dalam peristiwa serombongan Kristian Najran menemui Rasulullah SAW, ketika itu baginda berada di dalam masjid selepas solat Asar. Rombongan tersebut berhasrat melaksanakan upacara agama mereka di dalam masjid baginda. Ada sahabat yang cuba melarang tetapi ditegur oleh Rasulullah sambil bersabda: "Biarkan mereka." Rombongan itupun beribadat dengan menghadap ke arah Timur.

Dalam kejadian lain, Panglima Islam Salahuddin Al Ayyubi membebaskan kota Baitulmaqdis tanpa pertumpahan darah. Perjanjian dipegang, gereja dan tempat ibadat tidak diusik dan mereka dilayan dengan baik. Ertinya Islam mengajar kebaikan, hinggakan di dalam peperangan sekalipun, Islam tidak berlaku kejam terhadap musuh.

Memanglah elok kalau orang bukan Islam mencari dan memahami hakikat dan keindahan ajaran Islam itu. Tetapi orang Islam sendiri juga perlu mendalami ajaran Islam dan menjadikan diri contoh terbaik agar tampak jelas betapa Islam itu cantik dan indah. Memang sukar orang bukan Islam mahu faham kalau sikap umat Islam sendiri menyebabkan salah faham dan kekeliruan.

Di zaman jahiliyah, permusuhan hingga berperang itu tercetus dari punca yang sangat remeh. Namun bukan itu alasan yang utama. Perasaan benci membenci yang terpendam itu sebenarnya yang menjadi punca. Perasaan benci itu pula tidak pernah cuba untuk dikikis atau dipadamkan, malah terus disuburkan, hingga akhirnya merasa puas andainya dapat diluahkan kepada pihak yang dibenci.

Adakah kerakusan nafsu itu yang hendak kita pertahankan?

Masa yang berharga

on Saturday, November 3, 2007


Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, pergunakanlah kesempatan lima perkara sebelum datangnya lima perkara: "Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati." (Al Hakim, Baihaqi)

Huraiannya:

1. Muda sebelum tua.

Memang sudah maklum golongan muda memiliki fizikal yang kuat, cergas dan tangkas. Akal cerdas dan mudah menerima serta memahami sesuatu. Hati dan jiwa pula masih bersemangat, kuat merangsang dan mendorong. Ketika muda, masih belum banyak karat-karat dosa dan mazmumah. Masih mudah dilentur, diasuh dan dicorak.Banyak tabiat dan sikap belum benar-benar melekat dan sebati. Tabiat dan sikap buruk lebih mudah dikikis. Ini berbeza berbanding apabila menjangkau usia 40 tahun, seperti yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW maksudnya:

"Sesiapa yang mencapai umur 40 tahun sedangkan kebaikannya tidak mengatasi kejahatan, bersiap-siaplah ke neraka."

Usia 40 tahun itu sudah dikira sebagai baki umur yang sudah sedikit berbanding umur sebelumnya. Umur 40 tahun juga sebagai garis pemisah pemuda yang masih lembut dengan dewasa yang sudah keras. Penggunaan waktu muda dengan kebaikan akan terus menjadi tabiat yang melekat hingga ketua.

Sedangkan sebaliknya ibadah bagi orang yang sudah tua itu yang tidak istiqamah semenjak muda seolah-olah sekadar satu alternatif terakhir sahaja. Dan bukan sebagai bukti kecintaan yang mendalam. Apabila beramal dalam keadaan bercampur paksaan maka hilanglah kelazatan amal dan tidak berkesan atau berbekas. Maka akhlakpun tidak bertambah elok. Waktu tua pula sering uzur, lemah, kurang bermaya, kurang semangat serta ingatan pula turut lemah.

Sama ada ibadah yang khusus, mahupun urusan umum, kesempurnaannya memerlukan gabungan kekuatan fizikal, mental dan spiritual. Ambil satu contoh iaitu ibadah haji. Kalau sudah tua dan uzur bukan sahaja diri sendiri sukar melaksanakannya secara sempurna malah mungkin menyusahkan orang lain yang terpaksa menolaknya di atas kereta sorong. Betapalah kalau hendak berjuang dan berjihad seumpama perang.

2. Lapang sebelum sibuk

Sepanjang hidup kita sering sahaja sibuk dengan urusan keluarga, urusan kerja dan termasuk juga urusan kemasyarakatan. Dalam melaksanakan urusan itu semua, jarang sekali hati terus bertaut dengan Allah SWT. Memanglah urusan itu juga boleh dijadikan ibadah, namun ianya dinilai sebagai ibadah bukan secara otomatik melainkan setelah cukup syarat-syaratnya. Ibadah yang khusus (ritual) pun kadang-kadang tidak menjadi ibadah kerana tidak menepati syarat-syaratnya.
Oleh itu kita dituntut supaya dapat memanfaatkan masa lapang yang ada sebaik mungkin untuk berhubung dengan Allah SWT. Maksudnya tidak disia-siakan begitu saja.Tetapi inilah yang payah.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dua nikmat yang terpedaya manusia padanya iaitu sihat dan waktu lapang." Yakni manusia sering mensia-siakannya. Dan akan datang penyesalan dan rasa tertipu, atau baru tahu dan menyedari betapa besar nilainya ketika kehilangannya (tiada waktu lapang).
3. Kaya sebelum miskin

Jangan menyangka bahawa kekayaan tidak boleh lenyap dan boleh kekal dengan kaya selama-lamanya. Kekayaan itu anugerah Allah SWT yang boleh ditarik bila-bila masa. Ketika kaya peluang untuk berbuat kebajikan terbuka luas. Allah SWT buka saluran kebajikan terlalu banyak. Malah dengan kekayaan itu lebih mudah untuk beramal. Ke masjid, boleh meredah hujan dan panas dengan berkereta. Jarak masjid yang jauh tidak menyukarkan.

Boleh pergi haji berulangkali walaupun tidak dituntut. Sedekah dan jariah boleh disalurkan kepada berbagai tempat. Khusyuk kepada Tuhan tentu lebih mudah kerana tidak digusarkan oleh perut lapar, nafkah anak isteri, tempat tinggal yang agak selesa. Islam dapat lebih mudah dikembangkan melalui alat yang canggih dengan adanya kekayaan.

Kemiskinan walaupun merupakan darjat peribadi namun menjadi penghalang kepada kepesatan perkembangan Islam. Dalam keadaan tertentu, kemiskinan yang terlalu mencengkam kehidupan dan berhabis masa untuk mengisi perut dan mengasapkan dapur tidak sempat mempedulikan agama Allah SWT. Kadang-kadang, tekanan hidup itu membuatkan hilang kelazatan amal kerana sering mudah hadir dalam fikiran ketika sembahyang atau zikir.

4.Sihat sebelum sakit

Manusia akan sangat menyedari betapa bernilainya sihat apabila ditimpa sakit. Kadang-kadang ketika sihat itu manusia menjadi lupa daratan, terutama sekali lupakan Allah SWT dan lupa kepada amal kebajikan. Allah SWT menyukai mukmin yang kuat. Salah satu ciri-ciri kekuatan itu ialah fizikal yang kuat dan sihat. Akal yang cerdas pula sering terletak pada badan yang sihat.

Banyak tugas dan tanggungjawab tidak dapat disempurnakan apabila ditimpa sakit. Sakit itu sesuatu yang datang dan pergi. Oleh itu tidak boleh leka ketika sihat, kerana apabila sakit, biarpun kemahuan untuk beramal itu ada namun keupayaan pula hilang. Nikmat sihat itu sesuatu yang besar yang mesti disyukuri.

5. Hidup sebelum mati.

Firman Allah SWT, maksudnya, "Katakanlah, bahawa kematian yang kamu melarikan diri daripadanya, sesungguhnya akan menemui kamu, kemudian itu kamu dibawa kembali (kepada Allah) yang tahu hal yang tersembunyi dan yang nyata lalu diberitakanNya kepada kamu yang telah kamu kerjakan." (Al-Jum'ah: 8)

Hidup di dunia ini sementara sahaja dan sangat sekejap. Andainya manusia hidup seratus tahun, itupun hanya beberapa minit sahaja kalau dibandingkan dengan tempoh Akhirat. Dalam tempoh yang sangat singkat itu kita menggunakan masa untuk memburu berbagai perkara. Sedikit sangat pula masa yang dipergunakan untuk amal dan kebajikan. Terlalu malang andainya kita memilih untuk hidup berfoya-foya dan membuang usia kepada yang sia-sia. Lebih-lebih lagi malang bagi orang yang terus kufur.

Nikmat dunia ini selain sementara lagi sekejap, di sebalik nikmat itu atau yang mengiringi nikmat itu ada kesusahan. Sedapnya makan diiringi dengan pembuangan najis. Lazatnya bersetubuh diiringi pula dengan keletihan. Cantiknya pakaian diiringi oleh kesibukan menjaganya. Banyaknya harta disertai oleh beban penjagaan dan pengurusan. Dan semuanya akan berakhir dengan reput, rosak, berubah dan membebankan. Tidak dapat sedikitpun hendak dibandingkan dengan nikmat Syurga.

Betapa susahnya hidup di dunia ini tetap bersifat sementara dan sekejap saja. Betapa menderita dan sengsara, tetap ada orang yang bersimpati. Tidak langsung dapat dibandingkan dengan azab seksa akhirat.

Oleh itu jangan kerana memburu kesenangan yang sedikit di dunia hingga sanggup derhaka kepada Allah SWT. Natijahnya terlucut segala nikmat Syurga yang kekal abadi. Jangan kerana takut kepada kesusahan dan penderitaan yang sedikit di dunia ini hingga sanggup menderhakai Allah SWT hingga dilemparkan ke neraka yang kekal abadi.

Kesusahan di dunia ibarat terjatuh ke sarang semut api. Biarpun banyak namun tidak terasa lagi sakitnya sekiranya dalam waktu yang sama seekor harimau garang sedang hendak menerkam. Ketakutan kepada harimau itu melenyapkan ingatan kepada semut api yang banyak. Kegerunan kepada akhirat itu membius akal dan hati hingga hilang beban penderitaan di dunia. Maka orang yang ingat Allah SWT dan akhirat menjadi seorang yang berjiwa besar.

Dimanakah keistimewaan manusia ?

on Thursday, November 1, 2007


Kita manusia ini terdiri dari jasad dan roh. Andainya kita terlalu sangat memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan jasad maka tiada bezanya kita ini umpama haiwan. Tidak adalah kemuliaan dan keistimewaan manusia kalau sekadar hidup dengan jasad semata. Lebih-lebih lagi jasad itu bersifat lemah.

Lemahnya jasad itu, mudah sangat terdedah kepada kecederaan, sakit, letih, kudis, mengantuk dan sebagainya. Dari jasad itu keluar pula berbagai benda yang menjijikkan seperti peluh, hingus, air liur basi, kahak, najis besar dan kecil. Semuanya tengik dan meloyakan.

Roh pula andainya tidak diasuh dan dididik dengan sebaik mungkin akan mengakibatkan terzahirnya berbagai perlakuan yang jahat. Segala jenis kejahatan dari angkara roh itu membawa kepada kerosakan pada kehidupan manusia, hingga hilang lenyap kebahagiaan, ketenangan, keharmonian dan kesejahteraan. Berganti pula dengan pertelingkahan, permusuhan, saling membenci, berhasad dengki, khianat, zalim, menindas, berbunuhan dan berperang.

Ertinya, jasad itu sendiri kalau tidak diberi penjagaan maka berbagai unsur negatif yang bakal timbul dan keluar daripadanya. Manakala roh juga andainya tidak dididik dan dipimpin lebih-lebih lagi membawa kesan buruk. Kalau begitu dimanakah keistimewaan manusia ?

Semua jenis ibadah yang disyariatkan Allah, sembahyang, puasa, zakat, haji atau amalan-amalan sunat yang lain, bertujuan memperelokkan jasad dan roh melalui terhindar dari penyakit lahir dan batin. Jasad akan bertambah sihat, segar dan kuat.

Roh pula bertambah jernih, bersih suci dan baik. Roh akan cenderung kepada kebaikan dan kesejahteraan. Gabungan dari individu yang sama-sama cenderung kepada kebaikan maka kehidupan bermasyarakat dan bernegara akan lebih terasa indah. Siapa yang tidak inginkan keadaan yang demikian itu. Maka menghayati ibadah (fardhu dan sunat) salah satu jalan tercapainya keinginan tersebut.

Apabila kita membiarkan amal ibadah hanya berlaku secara tradisi , yakni tanpa mengambil pengertian atau hikmat tersirat di sebaliknya, samalah seperti kita tidak mementingkan kesejahteraan hidup. Jasad kita akan mudah dihinggapi berbagai penyakit yang menghilangkan keselesaan diri. Roh pula bersarang dengan berbagai penyakit batin yang juga turut menghilangkan keselesaan diri dan masyarakat.

Kekuatan Sebenar

on Wednesday, October 31, 2007


Figure yang paling layak untuk memperkatakan mengenai umat Islam ialah Muhammad Rasulullah SAW. Baginda bukan sekadar memperkatakan apa yang telah, sedang dan akan berlaku, malah apa yang bakal terjadi di alam Akhirat pun mampu digambarkan oleh beliau. Kemampuan Rasulullah SAW itu adalah kerana pimpinan wahyu yang datang dari Allah SWT.

Berhubung dengan umat Islam di zaman ini, banyak sabda Rasulullah SAW mengenainya. Biarpun gambaran hadis itu kebanyakannya secara umum, namun ianya jelas apabila dikaitkan dengan berbagai isu terkini di seluruh dunia. Sebut saja di aspek apa-budaya, sosial, kepimpinan, kepercayaan, pegangan, amalan, akhlak-semuanya telah diperkatakan ketika beliau masih hidup.
Cuba kita sama-sama merenung secara mendalam dua hadis yang dipaparkan di sini dan berusaha untuk menjadikannya iktibar dalam kehidupan sebagai seorang muslim.

1. Daripada Abu Said Al Khudri r.a berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kamu akan mengikut umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta-demi sehasta sehingga andainya mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani?" Rasulullah menjawab, "Siapa lagi" (Riwayat Muslim)

Sepatutnya kita tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk membuat kajian berhubung keruntuhan akhlak dan moral, dan berkembangnya gejala negatif masyarakat terutamanya muda mudi. Jawapannya telah ada dalam diri kita sendiri. Iaitu kita lemah dalam pegangan dan keyakinan.

Pegangan dan keyakinan kita terhadap ajaran Islam telah lemah. Hingga natijah dan akibatnya kita sudah jadi mereka. Umat Islam atau umat Muhammad, dikenali juga sebagai umat dakwah. Iaitu umat yang mengajak mereka menjadi kita (Islam). Bagaimana mungkin kita mahu jadikan mereka sebagai kita, andainya kita sendiri lemah iman dan taqwa. Bukan sekadar syariat dan amalan sudah terbarai, malah aqidah pun sudah tergadai.

2. Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba saatnya di mana bangsa lain seluruhnya datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengelilingi hidangan mereka." Seorang sahabat bertanya," Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?' Rasulullah SAW menjawab, "Bahkan, kamu pada hari itu ramai, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh kamu, dan Allah memasukkan ke hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya; "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta dunia dan takut pada mati".

Dulu, di saat umat Islam cintakan mati dan bencikan dunia, musuh takut dan gerun kepada umat Islam. Umat Islam menguasai dunia ketika mereka tidak inginkan dunia. Allah serahkan dunia untuk dikuasai, dipimpin dan ditadbir di zaman umat merintih hati inginkan bertemu Allah SWT di Akhirat. Di kala itulah umat Islam disegani oleh musuh.

Ketika ini musuh memperkotak-katik, membuli dan mempermainkan umat Islam. Mereka tidak menghormati umat Islam kerana mereka lihat masyarakat Islam sendiri sudah menggadai maruah sendiri secara sukarela. Budaya rock, rap, rape, rob tiada siapa yang memaksa, sebaliknya kita yang mengundangnya dan berleluasa membiak di atas minat dan kecintaan kita sendiri.

Terlalu mencintai dunia hingga memburunya siang malam hingga melupai Allah SWT dan ajaran-Nya. Tanpa mengira halal atau haram. Kerana asyik dengan kesenangan duniawi dan tertancak rasa kecintaan yang mendalam maka takut pula kepada kematian. Takut mati kerana rasa sayang dengan nikmat dan kelazatan dunia serta takut mati kerana tidak cukup persediaan atau tiada bekalan amalan untuk mati.

Orang yang hidupnya hanya menghitung keuntungan dunia dan takut mati, jiwanya sentiasa kosong dan lemah. Nafsu menjadi raja. Mereka ini mudah saja diumpan atau digula-gulakan dengan berbagai kemewahan. Dan tidak berani menanggung risiko atau kesusahan maka banyaklah berlaku penyelewengan, rasuah, zalim dan menindas. Pemimpin tidak bertanggungjawab manakala rakyat pula malas, lembap dan tidak produktif. Akhirnya kerajaan pun sukar untuk mengawal pemerintahan dan rakyat. Manakala rakyat pula sentiasa resah dengan berbagai kerumitan hidup.

Di sudut keyakinan pula terlalu mudah terungkai mungkin dengan hanya bisikan indah kata-kata cinta sudah tergadai maruah dan aqidah. Banyak pihak yang sanggup menjual negara dan bangsa hanya kerana inginkan kemewahan hidup dan takutkan ancaman. Kita masih berbangga kerana memiliki kerajaan dan pimpinan yang utuh. Cuma kita tidak boleh relaks dan tidak merasa sangsi akan kemungkinan gejala pemusnah umat ini tidak akan mengelembung dalam masyarakat kita.

Rasulullah SAW menggambarkan umpama buih yang lemah tiada kekuatan, dan hanyut mengikut arus. Mudah pula pecah hanya terlanggar ranting. Pecah berderai hanya kerana dilanda riak air, bukan dilambung gelombang. Dan buih ini tiada kekuatan walaupun banyak.

Di sini Rasulullah SAW maksudkan dengan lemah itu ialah lemah dalaman iaitu lemah iman dan taqwa. Kekuatan inilah yang perlu ditingkatkan. Manakala kekuatan lain umpama ilmu pengetahuan, intelektualiti, ekonomi, perpaduan, kemajuan dan lain-lain sebagai pelengkap menuju kepada kesempurnaan kekuatan ummah. Sebaliknya kekuatan pelengkap itu tidak berfungsi sepenuhnya andai tiada kekuatan iman dan taqwa. Ini terbukti apabila zaman keagungan Islam tidak bertahan dan akhirnya jatuh kerana semua golongan sudah rakus dunia dan tidak lagi memperdulikan soal-soal yang bersifat keakhiratan.

Apabila umat Islam, khususnya di negara kita kembali membina kekuatan iman dan taqwa, meneguhkan perpaduan, menguasai berbagai aspek tamadun dan kecanggihan teknologi, kita akan mengulangi sejarah. Kita akan dapat lihat mereka (orang-orang bukan Islam) akan berbondong-bondong menjadi kita (Islam).

Allah SWT berfirman dalam surah An Nashr, maksudnya:

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat."

Sembahyang sebagai asas disiplin hidup

on Tuesday, October 30, 2007


Di antara beberapa faktor penting yang menentukan kejayaan di dalam sesuatu usaha adalah sebagai berikut :

1. Ketepatan waktu

Waktu atau masa adalah perkara yang sangat penting di dalam sembahyang. Salah satu dari syarat sah sembahyang ialah mengerjakannya di dalam waktunya. Orang yang mengerjakan sembahyang di luar waktunya bererti tidak sah dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Oleh kerana itu ketepatan waktu sangat penting. Selanjutnya Allah akan memberi bonus tambahan kepada mereka yang mengerjakannya di awal waktu sedangkan barang siapa yang melewatkannya dibenci oleh Allah. Disiplin ini secara otomatik akan mendorong manusia untuk berlumba-lumba menunaikan sembahyang bukan hanya di dalam waktunya bahkan juga di awal waktu. Di samping itu juga orang yang datang lebih awal ke tempat sembahyang akan mendapat keuntungan berada di saf depan. Allah memberikan ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang berada di saf yang lebih depan.

Apabila seseorang itu berjaya menjaga disiplin dalam sembahyang, maka apabila ia terjun ke dalam dunia kehidupan secara otomatik akan dapat mendisiplinkan diri. Di dalam perniagaan umpamanya, ketepatan masa sangat dititik beratkan. Setiap masa yang terbuang bererti semakin banyak kerugian yang terjadi. Setiap detik dibiarkan berlalu ertinya kerugian. Jika sembahyang dapat mendorong manusia untuk berlumba-lumba berada di saf depan, maka jika dilaksanakan dalam kehidupan akan melahirkan manusia yang senantiasa berlumba untuk maju ke depan. Lumrahnya orang yang senantiasa datang lebih awal tentu akan merebut peluang apapun yang ditawarkan. Sembahyang sepatutnya menjadi asas pengurusan masa umat Islam.

2. Ketepatan janji

Sembahyang adalah satu ibadah di mana manusia membuat dan memperbaharui janji dengan Tuhan setiap kali mengerjakannya. Ini bererti 5 kali sehari manusia memperbaharui janji dan ikrar dengan Tuhan. Janji itu pula tidak hanya dibiarkan menjadi hiasan bibir tetapi untuk ditunaikan dalam kehidupan. Jika manusia dapat berusaha menunaikan janjinya kepada Tuhan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka dengan manusia yang dapat dilihat secara lahir ini tentulah lebih dapat menunaikan janji.

Begitu juga di dalam pekerjaan atau perniagaan, jika seseorang itu gagal dalam menepati janjinya dengan pelanggan, klien, pelabur atau pekerja maka tentu akan memburukkan imej perusahaan dan akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan kepada syarikat atau jabatan. Yang lebih parah lagi, hal itu juga akan menjadi sebab tindakan undang-undang boleh diambil terhadap syarikat atau jabatan kerana kegagalannya menepati janji. Begitulah pentingnya faktor janji di dalam kehidupan. Bagi orang yang sudah biasa mendisiplinkan dirinya dengan janji di dalam sembahyang, maka hal itu akan mendorongnya untuk menepati janji di luar sembahyang.

3. Jujur dan amanah

Insan yang jujur dan amanah adalah aset yang sangat mahal di dalam sebuah masyarakat. Sembahyang adalah ibadah yang sangat mendidik manusia menjadi jujur dan amanah. Hal itu adalah kerana pelaksanaan ibadah tidak dapat dibuktikan secara lahiriah melainkan dengan pengakuannya sendiri ataupun saksi yang melihatnya.

Ibadah sembahyang ini hanya melibatkan manusia dengan Tuhan. Hanya Tuhan yang menjadi saksi akan perbuatannya itu. Ibadah yang lain contohnya zakat dapat dibuktikan secara lahir kerana melibatkan hubungan di antara manusia. Tetapi sembahyang menguji kejujuran manusia dengan Tuhannya. Sembahyang melatih manusia berlaku amanah pada dirinya dan Tuhannya.

Orang yang tetap mengerjakan sembahyang baik di tempat ramai maupun sendirian ertinya ia jujur pada dirinya dan Allah. Orang yang seperti itu jika mengendalikan sesuatu kerja insyaAllah akan bertindak jujur dan amanah kerana telah dididik melalui sembahyang. Kerana itu jika semua yang terlibat dalam pekerjaan itu amanah, tentu akan menguntungkan perusahaan di samping dapat meningkatkan keyakinan masyarakat.

4. Taat pada pemimpin

Taat yang penuh pada perintah ketua atau majikan adalah aspek yang sangat perlu dititikberatkan di dalam Islam. Jika pekerja tidak faham atau tidak dapat mentaati perintah majikannya, sudah tentu akan terjadi huru hara dan merugikan. Terlebih lagi jika perusahaan memiliki pekerja yang banyak di mana masing-masing mengikuti pendapat sendiri tanpa mentaati arahan ketuanya. Hal itu sangat membahayakan kedudukan sesebuah perusahaan.

Ibadah sembahyang itu sendiri merupakan disiplin untuk melatih manusia supaya taat pada pemimpin terutama melalui sembahyang berjemaah. Di dalam sembahyang berjemaah makmum wajib memulai dengan memasang niat mengikuti imam. Dia juga mesti berada di belakang imam. Tidak boleh berada sebaris atau di hadapan imam. Gerakannya tidak boleh sama atau mendahului imam. Malah mesti setelah gerakan imam. Suaranya juga tidak boleh melebihi suara imam. Jika hal itu terjadi maka tidak sah sembahyangnya. Itu bererti sembahyang jemaah mendisiplinkan hati, akal dan fizikal untuk taat kepada pemimpin.

Makmum tidak boleh bergerak sesuka hati tanpa merujuk kepada imam. Jika disiplin itu telah mendarah daging maka secara otomatik kita akan terdidik untuk mentaati ketua di mana saja kita berada dalam tindakan apapun selama tidak bertentangan dengan syariat. Alangkah beruntungnya seorang majikan jika semua pekerjanya memahami dan mentatatinya. Ini tentu mengurangi masalah dan dapat meningkatkan prestasi perusahaan tersebut.

5. Tahan dalam menghadapi ujian

Apabila manusia berhasil menunaikan sembahyang dan tuntutannya yang sangat berat itu, bererti seseorang itu telah berjaya melepasi tiga tuntutan iaitu berat menunaikan sembahyang, mengikuti displin di dalam sembahyang serta melaksanakan tuntutan serta janji di dalam sembahyang. Bila setiap hari seseorang berusaha untuk melaksanakan ibadah itu, bererti setiap hari dia perlu bergelut dengan cabaran hawa nafsu. Proses ini akan membantu menguatkan jiwa manusia dan menyediakan manusia untuk berhadapan dengan ujian.

Dengan mengerjakan sembahyang secara istiqamah, sekaligus dapat membentuk jiwa manusia menjadi tahan terutama apabila berhadapan dengan cabaran hidup lahir dan batin. Apabila ia terjun dalam kehidupan seharian yang memang penuh dengan cabaran maka asas disiplin yang telah terbentuk dari sembahyang itu akan membantunya mengatasi dan melepaskan segala ujian dan cabaran yang dihadapi.

Begitulah asas-asas disiplin yang lahir dari mengerjakan ibadah sembahyang. Apabila umat Islam mengerjakan sembahyang, maka akan lahirlah disiplin. Apabia umat berdisiplin, maka akan tercetus kemajuan. Umat Islam memang beruntung kerana agama Islam mendorong umatnya membuat kemajuan. Hal itu sesuai dengan fitrah manusia yang menginginkan kemajuan. Bagi orang bukan Islam, kemajuan yang mereka rasakan hanyalah berdasarkan dorongan fitrah semata.

Oleh itu umat Islam sepatutnya lebih maju lagi kerana didorong oleh dua faktor tadi. Kerana Islam tabiatnya adalah mendorong kemajuan maka apabila diamalkan akan tercetus kemajuan dalam kehidupan. Jika umat Islam tidak maju maka yang pertama perlu diperiksa adalah sembahyangnya. Kerana sembahyang adalah ibadah asas yang utama, maka sembahyang juga merupakan sebab segala kejayaan di dunia dan akhirat. Orang yang mengerjakan sembahyang dan berpegang teguh pada disiplin-disiplinnya insyaAllah akan mendapat kejayaan di dalam bidang apapun yang diceburinya.

Hal itu sesuai dengan janji Allah yang berbunyi, "Sesungguhnya kemenangan bagi orang mukmin yang khusyuk di dalam sembahyang." (Al Mukmimun)

Kemenangan yang dimaksud adalah kejayaan dunia dan akhirat. Anak kunci kejayaan telah tersedia. Inilah peluang untuk kita merebutnya. Oleh itu marilah sama-sama memahami, melaksanakan dan mengemaskan sembahyang serta tuntutannya untuk menjamin kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Sifat mukmin, sentiasa membaiki diri

on Monday, October 29, 2007


Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa cemas, rasa bimbang, rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri, bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sementara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud. Pertama, sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar. Kedua, bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri. Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannya."

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan lalai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan.

Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesengsaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan. Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan.
Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah 'mengimpot' kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki diri. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.
Di antaranya:

1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT. Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segala sifat-sifat kesempurnaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat.

2. Rasa kehambaan yang mendalam, yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi, ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sfat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan. Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam.

Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat.

Sembahyang yang sempurna lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT. Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka.

Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya mengabdikan dirinya kepada Allah SWT. Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud,"Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba-hambaNya yang soleh"

Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah bermaksud: "Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iatu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk." (Al Mukminun:1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: "Barangsiapa memmperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya." (Riwayat Al Hakim)

Bagi umat Islam di seluruh dunia yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali mendambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT. Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah. Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.