Kekuatan Sebenar

on Wednesday, October 31, 2007


Figure yang paling layak untuk memperkatakan mengenai umat Islam ialah Muhammad Rasulullah SAW. Baginda bukan sekadar memperkatakan apa yang telah, sedang dan akan berlaku, malah apa yang bakal terjadi di alam Akhirat pun mampu digambarkan oleh beliau. Kemampuan Rasulullah SAW itu adalah kerana pimpinan wahyu yang datang dari Allah SWT.

Berhubung dengan umat Islam di zaman ini, banyak sabda Rasulullah SAW mengenainya. Biarpun gambaran hadis itu kebanyakannya secara umum, namun ianya jelas apabila dikaitkan dengan berbagai isu terkini di seluruh dunia. Sebut saja di aspek apa-budaya, sosial, kepimpinan, kepercayaan, pegangan, amalan, akhlak-semuanya telah diperkatakan ketika beliau masih hidup.
Cuba kita sama-sama merenung secara mendalam dua hadis yang dipaparkan di sini dan berusaha untuk menjadikannya iktibar dalam kehidupan sebagai seorang muslim.

1. Daripada Abu Said Al Khudri r.a berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kamu akan mengikut umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta-demi sehasta sehingga andainya mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani?" Rasulullah menjawab, "Siapa lagi" (Riwayat Muslim)

Sepatutnya kita tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk membuat kajian berhubung keruntuhan akhlak dan moral, dan berkembangnya gejala negatif masyarakat terutamanya muda mudi. Jawapannya telah ada dalam diri kita sendiri. Iaitu kita lemah dalam pegangan dan keyakinan.

Pegangan dan keyakinan kita terhadap ajaran Islam telah lemah. Hingga natijah dan akibatnya kita sudah jadi mereka. Umat Islam atau umat Muhammad, dikenali juga sebagai umat dakwah. Iaitu umat yang mengajak mereka menjadi kita (Islam). Bagaimana mungkin kita mahu jadikan mereka sebagai kita, andainya kita sendiri lemah iman dan taqwa. Bukan sekadar syariat dan amalan sudah terbarai, malah aqidah pun sudah tergadai.

2. Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba saatnya di mana bangsa lain seluruhnya datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengelilingi hidangan mereka." Seorang sahabat bertanya," Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?' Rasulullah SAW menjawab, "Bahkan, kamu pada hari itu ramai, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh kamu, dan Allah memasukkan ke hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya; "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta dunia dan takut pada mati".

Dulu, di saat umat Islam cintakan mati dan bencikan dunia, musuh takut dan gerun kepada umat Islam. Umat Islam menguasai dunia ketika mereka tidak inginkan dunia. Allah serahkan dunia untuk dikuasai, dipimpin dan ditadbir di zaman umat merintih hati inginkan bertemu Allah SWT di Akhirat. Di kala itulah umat Islam disegani oleh musuh.

Ketika ini musuh memperkotak-katik, membuli dan mempermainkan umat Islam. Mereka tidak menghormati umat Islam kerana mereka lihat masyarakat Islam sendiri sudah menggadai maruah sendiri secara sukarela. Budaya rock, rap, rape, rob tiada siapa yang memaksa, sebaliknya kita yang mengundangnya dan berleluasa membiak di atas minat dan kecintaan kita sendiri.

Terlalu mencintai dunia hingga memburunya siang malam hingga melupai Allah SWT dan ajaran-Nya. Tanpa mengira halal atau haram. Kerana asyik dengan kesenangan duniawi dan tertancak rasa kecintaan yang mendalam maka takut pula kepada kematian. Takut mati kerana rasa sayang dengan nikmat dan kelazatan dunia serta takut mati kerana tidak cukup persediaan atau tiada bekalan amalan untuk mati.

Orang yang hidupnya hanya menghitung keuntungan dunia dan takut mati, jiwanya sentiasa kosong dan lemah. Nafsu menjadi raja. Mereka ini mudah saja diumpan atau digula-gulakan dengan berbagai kemewahan. Dan tidak berani menanggung risiko atau kesusahan maka banyaklah berlaku penyelewengan, rasuah, zalim dan menindas. Pemimpin tidak bertanggungjawab manakala rakyat pula malas, lembap dan tidak produktif. Akhirnya kerajaan pun sukar untuk mengawal pemerintahan dan rakyat. Manakala rakyat pula sentiasa resah dengan berbagai kerumitan hidup.

Di sudut keyakinan pula terlalu mudah terungkai mungkin dengan hanya bisikan indah kata-kata cinta sudah tergadai maruah dan aqidah. Banyak pihak yang sanggup menjual negara dan bangsa hanya kerana inginkan kemewahan hidup dan takutkan ancaman. Kita masih berbangga kerana memiliki kerajaan dan pimpinan yang utuh. Cuma kita tidak boleh relaks dan tidak merasa sangsi akan kemungkinan gejala pemusnah umat ini tidak akan mengelembung dalam masyarakat kita.

Rasulullah SAW menggambarkan umpama buih yang lemah tiada kekuatan, dan hanyut mengikut arus. Mudah pula pecah hanya terlanggar ranting. Pecah berderai hanya kerana dilanda riak air, bukan dilambung gelombang. Dan buih ini tiada kekuatan walaupun banyak.

Di sini Rasulullah SAW maksudkan dengan lemah itu ialah lemah dalaman iaitu lemah iman dan taqwa. Kekuatan inilah yang perlu ditingkatkan. Manakala kekuatan lain umpama ilmu pengetahuan, intelektualiti, ekonomi, perpaduan, kemajuan dan lain-lain sebagai pelengkap menuju kepada kesempurnaan kekuatan ummah. Sebaliknya kekuatan pelengkap itu tidak berfungsi sepenuhnya andai tiada kekuatan iman dan taqwa. Ini terbukti apabila zaman keagungan Islam tidak bertahan dan akhirnya jatuh kerana semua golongan sudah rakus dunia dan tidak lagi memperdulikan soal-soal yang bersifat keakhiratan.

Apabila umat Islam, khususnya di negara kita kembali membina kekuatan iman dan taqwa, meneguhkan perpaduan, menguasai berbagai aspek tamadun dan kecanggihan teknologi, kita akan mengulangi sejarah. Kita akan dapat lihat mereka (orang-orang bukan Islam) akan berbondong-bondong menjadi kita (Islam).

Allah SWT berfirman dalam surah An Nashr, maksudnya:

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat."

Sembahyang sebagai asas disiplin hidup

on Tuesday, October 30, 2007


Di antara beberapa faktor penting yang menentukan kejayaan di dalam sesuatu usaha adalah sebagai berikut :

1. Ketepatan waktu

Waktu atau masa adalah perkara yang sangat penting di dalam sembahyang. Salah satu dari syarat sah sembahyang ialah mengerjakannya di dalam waktunya. Orang yang mengerjakan sembahyang di luar waktunya bererti tidak sah dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Oleh kerana itu ketepatan waktu sangat penting. Selanjutnya Allah akan memberi bonus tambahan kepada mereka yang mengerjakannya di awal waktu sedangkan barang siapa yang melewatkannya dibenci oleh Allah. Disiplin ini secara otomatik akan mendorong manusia untuk berlumba-lumba menunaikan sembahyang bukan hanya di dalam waktunya bahkan juga di awal waktu. Di samping itu juga orang yang datang lebih awal ke tempat sembahyang akan mendapat keuntungan berada di saf depan. Allah memberikan ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang berada di saf yang lebih depan.

Apabila seseorang itu berjaya menjaga disiplin dalam sembahyang, maka apabila ia terjun ke dalam dunia kehidupan secara otomatik akan dapat mendisiplinkan diri. Di dalam perniagaan umpamanya, ketepatan masa sangat dititik beratkan. Setiap masa yang terbuang bererti semakin banyak kerugian yang terjadi. Setiap detik dibiarkan berlalu ertinya kerugian. Jika sembahyang dapat mendorong manusia untuk berlumba-lumba berada di saf depan, maka jika dilaksanakan dalam kehidupan akan melahirkan manusia yang senantiasa berlumba untuk maju ke depan. Lumrahnya orang yang senantiasa datang lebih awal tentu akan merebut peluang apapun yang ditawarkan. Sembahyang sepatutnya menjadi asas pengurusan masa umat Islam.

2. Ketepatan janji

Sembahyang adalah satu ibadah di mana manusia membuat dan memperbaharui janji dengan Tuhan setiap kali mengerjakannya. Ini bererti 5 kali sehari manusia memperbaharui janji dan ikrar dengan Tuhan. Janji itu pula tidak hanya dibiarkan menjadi hiasan bibir tetapi untuk ditunaikan dalam kehidupan. Jika manusia dapat berusaha menunaikan janjinya kepada Tuhan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka dengan manusia yang dapat dilihat secara lahir ini tentulah lebih dapat menunaikan janji.

Begitu juga di dalam pekerjaan atau perniagaan, jika seseorang itu gagal dalam menepati janjinya dengan pelanggan, klien, pelabur atau pekerja maka tentu akan memburukkan imej perusahaan dan akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan kepada syarikat atau jabatan. Yang lebih parah lagi, hal itu juga akan menjadi sebab tindakan undang-undang boleh diambil terhadap syarikat atau jabatan kerana kegagalannya menepati janji. Begitulah pentingnya faktor janji di dalam kehidupan. Bagi orang yang sudah biasa mendisiplinkan dirinya dengan janji di dalam sembahyang, maka hal itu akan mendorongnya untuk menepati janji di luar sembahyang.

3. Jujur dan amanah

Insan yang jujur dan amanah adalah aset yang sangat mahal di dalam sebuah masyarakat. Sembahyang adalah ibadah yang sangat mendidik manusia menjadi jujur dan amanah. Hal itu adalah kerana pelaksanaan ibadah tidak dapat dibuktikan secara lahiriah melainkan dengan pengakuannya sendiri ataupun saksi yang melihatnya.

Ibadah sembahyang ini hanya melibatkan manusia dengan Tuhan. Hanya Tuhan yang menjadi saksi akan perbuatannya itu. Ibadah yang lain contohnya zakat dapat dibuktikan secara lahir kerana melibatkan hubungan di antara manusia. Tetapi sembahyang menguji kejujuran manusia dengan Tuhannya. Sembahyang melatih manusia berlaku amanah pada dirinya dan Tuhannya.

Orang yang tetap mengerjakan sembahyang baik di tempat ramai maupun sendirian ertinya ia jujur pada dirinya dan Allah. Orang yang seperti itu jika mengendalikan sesuatu kerja insyaAllah akan bertindak jujur dan amanah kerana telah dididik melalui sembahyang. Kerana itu jika semua yang terlibat dalam pekerjaan itu amanah, tentu akan menguntungkan perusahaan di samping dapat meningkatkan keyakinan masyarakat.

4. Taat pada pemimpin

Taat yang penuh pada perintah ketua atau majikan adalah aspek yang sangat perlu dititikberatkan di dalam Islam. Jika pekerja tidak faham atau tidak dapat mentaati perintah majikannya, sudah tentu akan terjadi huru hara dan merugikan. Terlebih lagi jika perusahaan memiliki pekerja yang banyak di mana masing-masing mengikuti pendapat sendiri tanpa mentaati arahan ketuanya. Hal itu sangat membahayakan kedudukan sesebuah perusahaan.

Ibadah sembahyang itu sendiri merupakan disiplin untuk melatih manusia supaya taat pada pemimpin terutama melalui sembahyang berjemaah. Di dalam sembahyang berjemaah makmum wajib memulai dengan memasang niat mengikuti imam. Dia juga mesti berada di belakang imam. Tidak boleh berada sebaris atau di hadapan imam. Gerakannya tidak boleh sama atau mendahului imam. Malah mesti setelah gerakan imam. Suaranya juga tidak boleh melebihi suara imam. Jika hal itu terjadi maka tidak sah sembahyangnya. Itu bererti sembahyang jemaah mendisiplinkan hati, akal dan fizikal untuk taat kepada pemimpin.

Makmum tidak boleh bergerak sesuka hati tanpa merujuk kepada imam. Jika disiplin itu telah mendarah daging maka secara otomatik kita akan terdidik untuk mentaati ketua di mana saja kita berada dalam tindakan apapun selama tidak bertentangan dengan syariat. Alangkah beruntungnya seorang majikan jika semua pekerjanya memahami dan mentatatinya. Ini tentu mengurangi masalah dan dapat meningkatkan prestasi perusahaan tersebut.

5. Tahan dalam menghadapi ujian

Apabila manusia berhasil menunaikan sembahyang dan tuntutannya yang sangat berat itu, bererti seseorang itu telah berjaya melepasi tiga tuntutan iaitu berat menunaikan sembahyang, mengikuti displin di dalam sembahyang serta melaksanakan tuntutan serta janji di dalam sembahyang. Bila setiap hari seseorang berusaha untuk melaksanakan ibadah itu, bererti setiap hari dia perlu bergelut dengan cabaran hawa nafsu. Proses ini akan membantu menguatkan jiwa manusia dan menyediakan manusia untuk berhadapan dengan ujian.

Dengan mengerjakan sembahyang secara istiqamah, sekaligus dapat membentuk jiwa manusia menjadi tahan terutama apabila berhadapan dengan cabaran hidup lahir dan batin. Apabila ia terjun dalam kehidupan seharian yang memang penuh dengan cabaran maka asas disiplin yang telah terbentuk dari sembahyang itu akan membantunya mengatasi dan melepaskan segala ujian dan cabaran yang dihadapi.

Begitulah asas-asas disiplin yang lahir dari mengerjakan ibadah sembahyang. Apabila umat Islam mengerjakan sembahyang, maka akan lahirlah disiplin. Apabia umat berdisiplin, maka akan tercetus kemajuan. Umat Islam memang beruntung kerana agama Islam mendorong umatnya membuat kemajuan. Hal itu sesuai dengan fitrah manusia yang menginginkan kemajuan. Bagi orang bukan Islam, kemajuan yang mereka rasakan hanyalah berdasarkan dorongan fitrah semata.

Oleh itu umat Islam sepatutnya lebih maju lagi kerana didorong oleh dua faktor tadi. Kerana Islam tabiatnya adalah mendorong kemajuan maka apabila diamalkan akan tercetus kemajuan dalam kehidupan. Jika umat Islam tidak maju maka yang pertama perlu diperiksa adalah sembahyangnya. Kerana sembahyang adalah ibadah asas yang utama, maka sembahyang juga merupakan sebab segala kejayaan di dunia dan akhirat. Orang yang mengerjakan sembahyang dan berpegang teguh pada disiplin-disiplinnya insyaAllah akan mendapat kejayaan di dalam bidang apapun yang diceburinya.

Hal itu sesuai dengan janji Allah yang berbunyi, "Sesungguhnya kemenangan bagi orang mukmin yang khusyuk di dalam sembahyang." (Al Mukmimun)

Kemenangan yang dimaksud adalah kejayaan dunia dan akhirat. Anak kunci kejayaan telah tersedia. Inilah peluang untuk kita merebutnya. Oleh itu marilah sama-sama memahami, melaksanakan dan mengemaskan sembahyang serta tuntutannya untuk menjamin kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Sifat mukmin, sentiasa membaiki diri

on Monday, October 29, 2007


Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa cemas, rasa bimbang, rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri, bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sementara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud. Pertama, sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar. Kedua, bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri. Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannya."

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan lalai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan.

Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesengsaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan. Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan.
Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah 'mengimpot' kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki diri. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.
Di antaranya:

1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT. Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segala sifat-sifat kesempurnaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat.

2. Rasa kehambaan yang mendalam, yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi, ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sfat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan. Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam.

Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat.

Sembahyang yang sempurna lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT. Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka.

Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya mengabdikan dirinya kepada Allah SWT. Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud,"Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba-hambaNya yang soleh"

Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah bermaksud: "Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iatu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk." (Al Mukminun:1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: "Barangsiapa memmperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya." (Riwayat Al Hakim)

Bagi umat Islam di seluruh dunia yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali mendambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT. Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah. Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.

Mari Cetuskan Kasih Sayang

on Sunday, October 28, 2007

Salah satu punca utama penyumbang kepada gejala negatif di kalangan remaja ialah ketiadaan kasih sayang. Sebenarnya kesan buruk ketiadaan kasih sayang itu bukan terhadap golongan remaja sahaja. Malah sesiapa pun di dunia ini akan rosak jiwanya kerana tidak mendapat kasih sayang. Banyaknya dibangunkan rumah-rumah orang tua kerana golongan tua juga turut tidak mendapat kasih sayang daripada anak-anak. Akhirnya mereka hidup sepi seolah-olah tersisih dan tidak dipedulikan.

Islam menganjurkan agar kasih sayang berlaku di dalam semua peringkat dan golongan. Perlu subur kasih sayang di dalam keluarga, di dalam jabatan, di dalam setiap institusi, di dalam pemerintahan, di dalam pendidikan, di dalam pergaulan dan sebagainya. Dan kasih sayang itu mestilah di dalam konteks dua hala antara satu individu dengan individu yang lain, antara satu pihak dengan pihak lain. Tidak boleh subur kasih sayang sekiranya ibarat bertepuk sebelah tangan. Sebab itulah dalam usaha menyuburkan kasih sayang itu semua pihak mesti mengambil inisiatif, daya usaha, pendekatan, agenda dan program ke arah itu. Dan ini bukanlah aktiviti yang boleh dibuat bermusim sebaliknya berterusan seperti makan dan minum, kerana kasih sayang adalah sebahagian dari keperluan asasi kehidupan manusia itu sendiri.

Contoh manifestasi kehidupan yang sudah gersang dari kasih sayang ialah masyarakat Barat. Hidup terlalu individualistik, ego dan sangat mempertahankan hak sendiri. Hingga seorang anak sekalipun tidak mempedulikan ibubapa lantaran tiadanya kasih sayang. Ibubapa pula tidak boleh dan tidak berani campur tangan dalam hal ehwal dan urusan anak-anak. Pertalian atau hubungan yang berlangsung kalaupun ada tidak lebih dari tradisi dan lakonan yang bersifat lahiriah. Agama sudah tidak berperanan mempertautkan hati antara satu dengan yang lain.

Ada beberapa tanda-tanda yang menjadi isyarat sama ada telah wujud kasih sayang ataupun sebaliknya. Sekiranya tiada tanda-tanda tersebut itu menunjukkan kasih sayang tidak wujud. Kalau ada sebahagian sahaja itu juga menunjukkan kasih sayang belum benar-benar mantap.

1. Apabila bertemu tidak merasa jemu. Malah pertemuan itu sentiasa ditunggu-tunggu. Masing-masing mencari jalan dan alasan untuk membolehkan bertemu selalu. Setiap pertemuan dirasakan sangat bermanfaat. Banyak perkara yang boleh dikongsi bersama, termasuklah perkara yang mendatangkan kebaikan bersama dan untuk kebaikan umat.

2. Apabila berpisah atau ketiadaan amat dirasai kehilangannya. Seolah-olah ada sesuatu yang sangat berharga telah hilang. Perasaan rindu sentiasa menyelinap di sanubari. Bertolak di atas kerinduan itulah maka di saat berpisah itu saling doa mendoa antara satu sama lain.

3. Wujud sikap pembelaan yakni bukan sekadar saling bertolong bantu malah sangat kuat membela antara satu dengan yang lain. Masing-masing merasakan bahawa diri orang lain itu sangat bernilai serta berharga, manakala diri sendiri lebih wajar terkorban demi untuk orang lain yang bernilai dan berharga itu.

Andainya bertembung satu keadaan di mana salah seorang saja yang boleh hidup, maka kedua-duanya berlumba-lumba menawarkan dirinya terkorban untuk membolehkan orang lain itu hidup.

4. Apa yang disukai atas dirinya, itulah juga yang disukai atas orang lain. Apa yang dibenci atas dirinya maka itulah juga yang dia tidak suka berlaku ke atas diri orang lain. Dia mahu orang lain turut beriman seperti dirinya mahukan iman. Dia mahu orang lain turut ke Syurga seperti dirinya mengidamkan Syurga. Dia takut jatuh kepada kufur, dosa dan neraka, maka itu juga yang ditakuti berlaku ke atas orang lain.

5. Sikap dalam kehidupannya sentiasa mengutamakan orang lain. Sekurang-kurangnya sama taraf. Lebih kerap berlaku dia akan melebihkan orang lain berbanding dirinya. Kesenangan dan kebahagiaan orang lain itulah merupakan kesenangan dan kebahagiaan bagi dirinya. Lantaran itu maka terbentuklah satu sikap yang sangat suka memberi atau lebih banyak memberi berbanding menerima. Baginya kebahagiaan itu bukan dia memiliki sesuatu tetapi kebahagiaan itu apabila orang lain itu berjaya memiliki sesuatu. Sama ada dia yang memberi atau berusaha membantu hingga orang lain berjaya memperolehinya.

6. Meletakkan diri sebagai regu yang baik dalam kehidupan bermasyarakat. Regu yang baik seolah-olah dalam satu pasukan. Biarpun berada di dalam posisi masing-masing tetapi ada peranan dalam mencapai cita-cita bersama. Penjaga gol dalam pasukan bola biarpun tiada peluang menyumbat bola ke gol lawan namun besar peranannya dalam mempertahankan kemenangan pasukannya sendiri. Andainya penjaga gol mementingkan perasaan dan kepentingan diri, seluruh pasukan akan menanggung kekalahan bersama.

Semua ciri-ciri kasih sayang ini telah dimiliki oleh orang-orang utama terdiri dari para Rasul, para sahabat dan salafussoleh. Kehidupan mereka bukan tidak ada krisis langsung tetapi sangat sedikit serta tidak sampai mencetuskan permusuhan dan perpecahan. Tidak hairanlah kehidupan mereka sangat harmoni. Akhirat lebih diutamakan berbanding duniawi. Keredhaan Allah SWT menjadi buruan masing-masing. Ketinggian dunia tidak ada dalam kamus hidup mereka. Segala sesuatu yang bersifat duniawi itu tidak lebih dari alat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sikap mereka yang tidak mahukan ketinggian dunia jelas digambarkan oleh Allah melalui firmanNya yang bermaksud: "Mereka yang tidak inginkan ketinggian dan berbuat kerosakan dan memilih akhirat dan itulah balasan bagi orang yang bertaqwa."

Jangan keliru mengenai ibadah

on Saturday, October 27, 2007


Allah SWT mencipta jin manusia hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tiada tujuan lain. Kalau manusia terpesong dari tujuan asal mengapa manusia dijadikan, maka itu adalah percanggahan dari apa yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firmanNya yang bermaksud "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku" (Az-Zariyat: 56)

Perbuatan menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT itulah yang diistilahkan sebagai ibadah. Dengan erti kata yang lain melalui perintah itu, Allah SWT menuntut agar manusia sentiasa beribadah kepadaNya. Manusia tidak boleh sama sekali berbuat sesuatu dalam hidupnya kecuali untuk beribadah kepada Allah SWT. Manusia di larang daripada mencipta atau melencongkan kehidupan dari pengabdian itu.

Sesuatu pekerjaan atau perbuatan itu akan dinamakan ibadah sekiranya mendatangkan pahala. Tidak kiralah apa jenis pekerjaan atau perbuatan asalkan ada meritnya di Akhirat nanti maka itu dinamakan ibadah.

Ibadah itu ada dua jenis iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Sama ada ibadah khusus, lebih-lebih lagi ibadah umum tidak secara otomatik ada merit di Akhirat nanti apabila dilaksanakan. Merit sesuatu pekerjaan atau perbuatan itu bergantung kepada syarat-syaratnya yang secara otomatik akan berpahala sekiranya memenuhi syarat-syaratnya. Apa yang jelas ialah ibadah khusus sekalipun tidak mudah memperolehi pahala, apatah lagi ibadah umum.

1. Ibadah khusus.

Ini merupakan amalan sudah ditetapkan oleh Allah SWT atau ada syarat, peraturan, tertib dan sah batalnya. Ibadah khusus ini ada yang wajib dan ada yang sunat saja tarafnya. Rata-rata umat Islam telah maklum jenis amalan atau ibadah khusus ini seperti yang ada dalam rukun Islam ,wirid, zikir,membaca Al Quran, berdoa dan sebagainya

Ibadah khusus yang memang telah di syariatkan ini pun kadangkala tidak mendapat pahala. Mungkin syarat rukun dan sah batalnya telah terpenuhi namun andainya di celah oleh berbagai niat sampingan maka Allah SWT tidak beri pahala. Umpamanya sewaktu ibadah itu ada niat yang bercabang atau untuk tujuan duniawi, riya' atau menunjuk-nunjuk, kerana politik, kerana malu dan sebagainya.

2. Ibadah umum.

Ini termasuk sebahagiannya bertarafkan fardhu kifayah dan sebahagian yang hukum asalnya harus atau mubah sahaja. Ibadah umum ini skopnya sangat luas yang mencakupi atau merangkumi seluruh pekara yang berkaitan kehidupan manusia. Sebanyak mana keperluan manusia maka seluruhnya merupakan skop ibadah umum. Ertinya seluruh perkara berkaitan manusia itulah saluran mendapatkan pahala atau merit Akhiratnya.

Namun demikian merit Akhirat itu hanya tercapai apabila memenuhi 5 syarat. Tidak kiralah dibidang apa pun, sama ada tidur baring, gerak diam, terlangkup terlentang hatta menguap, kentut atau masuk tandas sekalipun akan menjadi ibadah. Apatah lagi terhadap persoalan yang lebih besar seperti pembangunan, kemajuan, ekonomi, sains dan teknologi, IT, pertanian, pendidikan, kesihatan, pemerintahan, penerangan, perhubungan dan lain-lain.

Lima syarat tersebut iaitu:

1. Niat mesti benar-benar kerana Allah SWT dan niat itu tidak berubah atau tidak terpesong sepanjang pekerjaan tersebut.
2. Perlaksanaan mesti mengikut syariat atau tidak boleh bercampur aduk dengan perlakuan mungkar dan maksiat.
3. Natijah mesti untuk kebaikan. Kalau hasil sesuatu pekerjaan itu mendatangkan mudarat atau haram maka tidak menjadi ibadah.
4. Pekerjaan yang tidak bercanggah dengan syariat yakni sekurang-kurang perkara harus atau mubah.
5. Dalam tempoh perlaksanaan pekerjaan tersebut tidak meninggalkan perkara pokok dari ajaran Islam (rukun Iman dan rukun Islam) dan yang bersangkutan dengan fardhu ain.

Tanpa menempuh lima syarat di atas janganlah sewenang-wenangnya mendakwa sesuatu perbuatan atau pekerjaan itu sebagai ibadah. Sebaliknya ia akan menjadi sia-sia sahaja tanpa sebarang nilai di sisi Allah SWT.

Syawal bulan bersyukur

on Thursday, October 25, 2007

Ibadah puasa dilaksanakan dengan penuh kesabaran. Idil Fitri pula disambut dengan penuh kesyukuran. Ertinya Ramadhan bulan bersabar dan Syawal bulan bersyukur. Sabar dan syukur, dua sifat yang menjanjikan kejayaan di dunia dan di Akhirat.

Rasa tawakkal kepada Allah Yang Maha Esa, akan menjauhkan segala kesusahan yang bergelodak dalam jiwa lantaran mengalami berbagai-bagai pengalaman hidup yang pahit dan sulit. Rasa keyakinan bahawa kebaikan akan tiba pasti menambahkan rasa optimis dalam menempuh hidup seterusnya. Namun rasa optimis itu haruslah berteraskan tiang iman yakni sifat sabar.

Apalah ertinya hidup seorang insan itu tanpa ada kesabaran. Tanpa kesabaran, perasaan manusia pada setiap waktu dan ketika bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata kerana sering menerima terpaan angin perubahan yang bertalu-talu dan tiba-tiba. Malah sabarlah yang banyak membezakan sifat antara kemanusiaan dan kebinatangan. Menangani sesuatu masalah tanpa berusaha untuk bersabar dan bertenang adalah sebuah kesilapan yang sangat memalukan.

Jelaslah bahawa kesabaran memainkan peranan yang penting di dalam memelihara rasa optimis dalam diri seseorang yang beriman.

Abu Abbas pernah membuat pengertian "sabar" iaitu: "Sabar ialah kemampuan menahan diri dari perbuatan yang tercela, mengikat lidah dari mengeluarkan kata-kata keluhan serta pada akhirnya menanti lenyapnya kesusahan."

Allah menyebut persoalan sabar ini lebih sembilan puluh ayat di dalam Al Quran. Dalam surah An Nahl ayat 127 Allah berfirman yang maksudnya:

"Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tidaklah kesabaranmu itu melainkan semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan."

Dalam hal ini juga Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Tiadalah seseorang diberi suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas dari sabar." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabar sesungguhnya mempunyai tiga tingkatan iaitu:

Pertama: Sabar orang awam yakni memaksa diri untuk bersabar. Tahan memikul segala beban kesulitan serta tabah di dalam menerima segala dugaan. Sifat sabar itu adalah untuk Allah.

Kedua: Sabar menderita untuk meringankan beban berat yang dipikulnya dan kerana memang telah menjadi suatu kebiasaan dirinya, maka semua itu akan terasa ringan. Sabar yang demikian merupakan sabar orang yang mencari keredhaan Allah (orang soleh).

Ketiga: Kelazatan yang dirasakan di dalam kesabaran menghadapi segala dugaan. Selalu bergembira dengan ujian yang didatangkan Allah. Inilah sabar yang terhasil dari tuntunan Allah. Sabar begini adalah sabar orang yang sangat hampir dengan Tuhannya (muqarrabin).

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Ya Allah, aku mohon kemantapan hati di dalam menghadapi segala macam persoalan dan kekuatan untuk mengikuti petunjuk." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, An Nasai dan Ibnu Hibban)

Tetapi nilai sabar ini tidak ada sekiranya tidak ada rasa syukur dalam diri. Dalam hal ini para hukamak pernah berkata yang maksudnya: "Iman ada dua bahagian. Satu bahagian adalah sabar, sedangkan sebahagian lagi adalah syukur."

Jadi nilai sabar tidak akan sempurna kecuali kalau ia disertai dengan rasa syukur. Apabila rasa syukur telah hilang, maka sabarpun hilang pula dan begitulah sebaliknya.

Apabila seseorang itu secara ikhlas dapat mengakui kepada dirinya sendiri bahawa ia sedang dalam keadaan yang patut disyukuri, maka itu merupakan bukti bahawa ia bahagia dan redha.

Pada saat yang sama, rasa syukur juga merupakan suatu ucapan syukur, yang datang dari lubuk hati yang sedalam-dalamnya, kepada Allah Maha Pencipta dan wajar serta lazimlah rasa yang demikian itu akan disertai pula dengan perbuatan-perbuatan orang yang bersyukur.

Allah menyukai hambaNya yang pandai bersyukur serta mahu mengakui segala kenikmatan yang telah dilimpahkan Allah kepadanya. Malah dalam Al Quran banyak firman-firmanNya yang menjanjikan kerugian bagi orang-orang yang tidak bersyukur. Orang yang tidak bersyukur serupa dengan orang yang telah menerima budi tetapi tidak langsung tahu berterima kasih.

Amirul Mukminin Umar Abdul Aziz, setiap kali dia melangkau pandangan mata hatinya kepada segala kenikmatan yaang telah diberikan oleh Allah kepadanya, maka ia akan mengucapkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari merubah kenikmatan menjadi kekufuran, atau mengkafirinya sesudah mengetahuinya, atau lupa kemudiannya dan tidak bersyukur."

Hamba yang sentiasa pandai bersyukur akan selalu pula bertambah rasa optimisnya, sebab orang yang demikian itu tentulah setiap saat ingat firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan tambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu amat pedih." (Ibrahim: 7)

Setiap yang dijanjikan Allah adalah sesuatu yang pasti terjadi. Perjanjian Allah tidak pernah termungkir. Tepat dan tidak pernah terlewat atau tercepat walaupun sesaat. Oleh kerana itu, bersyukur sekaligus berharap akan datangnya tambahan nikmat Allah yang luas, yang tiada batasan.

Umpama satu bangunan, sabar dan syukur berperanan sebagai mengutuhkan binaan iman dalam diri. Tanpa sabar, syukur tidak bermakna, tanpa syukur, sabar tidak berharga. Kedua-dua sifat ini perlu ada dalam diri setiap orang yang mengaku beriman.

Sudahkah kita memilikinya sesudah sebulan bermujahadah di bulan Ramadhan?