Semua manusia tidak kira bangsa, agama atau keturunan semuanya inginkan kehidupan yang "Thaiyibah". Memang begitulah sifat fitrah manusia yang dicipta oleh Allah SWT.
Siapa yang tidak inginkan kehidupan yang "Thaiyibah" dalam ertikata kemakmuran, kemajuan, kesenangan dan keselesaan. Dengan lain perkataan semua manusia mahukan kebaikan, kedamaian, keharmonian, perpaduan, kasih sayang dan saling bertolong bantu. Semua manusia mahukan keselamatan diri, keselamatan harta benda dan keselamatan maruah.
Manusia juga mahukan pendidikan yang menjamin pembentukan peribadi mulia dan peluang mendapat ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin. Manusia mahukan tempat tinggal yang selesa. Manusia inginkan kesihatan yang sempurna dan tidak mengganggu keselesaan hidup. Manusia sentiasa mahukan keperluan asas yang berkecukupan. Manusia juga mahukan infrastruktur yang dapat membantu kelancaran segala urusan hidup. Manusia juga bukan sekadar ingin melihat dan mendengar segala macam nikmat, tetapi lebih dari itu manusia ingin merasai dan mengecapinya. Semua yang tertera di atas adalah di antara aspek yang terangkum di dalam "Thaiyibah".
Bagi umat Islam, tuntutan yang mesti di buru dan dicapai lebih dari sekadar "Thaiyibah" atau bukan sekadar terhenti kepada memperolehi keperluan asas, kemajuan, pembangunan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.
Umat Islam mesti berusaha mencapai aspek yang lebih utama iaitu bertaraf "Ghafur" daripada Allah SWT. Umat Islam mesti ada agenda, program, pelan bertindak dan mekanisme mencapai ciri-ciri "Wa Rabbun Ghafur". Antara ciri-cirinya ialah:
1. Kekuatan iman
Kekuatan iman yang ada bukan sekadar mengesahkan iman, malah perlu sampai ke tahap yang mampu menjadi benteng daripada segala macam jenis maksiat dan kemungkaran, sekaligus sangat cintakan kebaikan.
2. Taqwa yang tinggi
Taqwa ertinya memelihara. Iaitu sangat memelihara hubungan dengan Allah SWT dan memelihara kehidupan bersyariat sehalus-halusnya.
3. Ibadah yang sempurna
Kesempurnaannya dalam ertikata terjaga lahiriah dari aspek syarat rukun dan sah batal, lebih-lebih lagi terpelihara roh ibadah itu hingga menghasilkan buahnya. Buah ibadah itu ialah rasa kehambaan dan rasa berTuhan yang sangat mendalam hingga ibadah itu sendiri akan membentuk keperibadian seseorang.
4. Urusan hidup yang menepati kehendak Allah SWT dan rasulNya atau sentiasa dalam bersyariat.
5. Memiliki akhlak yang mulia. Akhlak adalah tabiat, perangai, perbuatan atau tingkah laku. Maka akhlak adalah buah atau natijah atau manifestasi dari hati. Hati yang baik maka akhlak pun menjadi baik. Akhlak yang tinggi dan mulia apabila selaras atau selari dengan sifat-sifat keTuhanan. Contohnya Allah SWT itu Maka Pemurah, maka manusia juga perlu memiliki sifat pemurah yang sesuai dengan taraf manusia. Contohnya Allah SWT Maha Pengasih, maka manusia perlu memiliki kasih sayang dan sebagainya.
6. Sentiasa berdisiplin-mengikat diri dengan peraturan umpamanya yang penting diutamakan, perkara yang patut didahulukan tidak dikemudiankan. Siapa yang patut diberi penghormatan maka hendaklah dihormati dan sebagainya.
7. Bersih dari dosa dan maksiat.
8. Berlumba-lumba membersihkan hati dari sifat-sifat keji (mazmumah).
9. Berlumba-lumba membaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT.
10. Berlumba-lumba berbuat kebaikan dan kebajikan.
Buah atau natijah dari memiliki ciri-ciri "Wa Rabbun Ghafur" itu maka lahirlah golongan masyarakat seperti berikut.
1. Pemimpin yang sangat menaungi umat yang ada pada diri pemimpin itu sifat kebapaan yang sangat bertanggungjawab, sifat keibuan yang pengasih dan pengasuh. Sifat guru yang sentiasa memberi didikan dan sifat sahabat yang sentiasa simpati dan memberi pertolongan.
2. Para ulama yang menjadi obor menerangi umat dengan ilmu dan asuhan untuk mengenal Allah SWT dan kehidupan bersyariat.
3. Orang kayanya sentiasa bersyukur dan pemurah serta sentiasa membela orang yang memerlukannya.
4. Golongan pekerja, petani, nelayan sentiasa bersabar, redha dan terus berusaha.
5. Suami atau bapa yang bertanggungjawab.
6. Isteri yang menghormati dan mentaati suami. Hasil gabungan suami isteri yang seumpama itu maka terbina ikatan kukuh yang membawa kepada keluarga bahagia.
7. Anak-anak dan remaja menghormati ibu bapa dan orang tua. Tidak melakukan kerja sia-sia.
8. Para wanita sangat mempertahankan benteng maruah diri dengan mengekalkan sifat semulajadi iaitu sangat pemalu.
Inilah gambaran cita-cita yang mesti ada di hati umat Islam, berdasarkan firman Allah SWT tersebut. Gabungan "Thaiyibah" dan "Wa Rabbun Ghafur" inilah kehidupan umat Islam yang sebenar. Andainya terpisah atau terpinggir salah satu darinya maka ertinya sudah terkeluar dari tuntutan sebenarnya kehidupan sebagai orang Islam. Dan ini jugalah yang dikatakan kehidupan sejahtera yang hakiki, InsyaAllah hingga ke akhirat.
0 comments:
Post a Comment